Sejarah: Mesyuarat pertama JK Agung PAS tubuh dewan

HARAKAHDAILY | .

MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA KERJA AGUNG PAS SESI PERTAMA PUTUSKAN PENUBUHAN DEWAN-DEWAN (3 APRIL 1952)

PADA hari ini dalam tahun 1952, Jawatankuasa Kerja Agung PAS sesi pertama iaitu sesi 1951-1952 telah bermesyuarat buat kali yang pertama di Madrasah ad-Daeratul Maarif, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Mesyuarat ini adalah mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Agung PAS semenjak PAS melantik Ahli Jawatankuasa Kerja Agungnya dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951. Melalui mesyuarat ini, PAS merangka gerak kerja dan memulakan langkah pembangunan organisasinya.

Semenjak PAS ditubuhkan atas nama Persatuan Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur, ia telah mengadakan satu persidangan di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Perai pada 24 November 1951 untuk meluluskan Undang-undang Tubuh PAS dan melantik Ahli Jawatankuasa Kerja Agung.

Dalam persidangan ini nama Persatuan Ulamak Malaya telah ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, mudir Madrasah al-Masriyah telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS .

Pada peringkat awal ini, organisasi PAS masih belum tersusun dan pergerakannya agak perlahan kerana pimpinan PAS yang dilantik berhadapan dengan beberapa isu antaranya tuduhan Umno bahawa PAS hendak merampas kuasa Raja-raja Melayu dalam urusan agama dan isu pertindanan keahlian PAS dengan Umno dan IMP.

Walaupun ada pihak yang memandang sinis terhadap penubuhan PAS kerana ia lahir dari persidangan anjuran Umno, tetapi banyak pihak memberi harapan supaya PAS dapat memajukan Islam di Malaya, termasuk diadakan satu Majlis Kesyukuran Penubuhan PAS di Kedah pada 2 Februari 1952yang dihadiri 300 ulamak.  

Setelah menyelesaikan kekeliruan ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah melantik empat orang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebagai ahli tambahan dan pada 23 Mac 1953 beliau memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS kali pertama.

Pada 3 April 1952, telah berlangsung mesyuarat kali yang pertama ini yang berjaya memulakan langkahan perjuangan PAS.

Antara keputusan penting Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah bersetuju menubuhkan sekurang-kurangnya 20 Cawangan PAS sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama (awal 1953) dan menubuhkan tiga Jawatankuasa Kecil yang kemudiannya menjadi sayap-sayap utama PAS iaitu Dewan Ulamak yang diketuai oleh Mufti Sheikh Abdullah Fahim, Dewan Pemuda Islam yang diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah dan Dewan Muslimat yang diketuai oleh Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS turut menubuhkan beberapa Jawatankuasa Kecil yang lain iaitu Jabatan Kebajikan Am (Haji Majzub Yunus), Jabatan Pelajaran (Mohamad Hanif), Jabatan Penerangan (Haji Zabidi Ali) dan Jabatan Penyiasat (Yang Dipertua).

Dengan terbentuknya organisasi yang tersusun melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang pertama ini, PAS mulai bergerak sebagai badan politico-dakwah dalam perjuangan Islam di Malaya ketika itu.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 April 2016 - HARAKAHDAILY 3/4/2016

Share on Myspace