Tanpa kuasa pun Tun M boleh betulkan isu royalti, Memali

AHMAD AMZAD HASHIM | .

ADA yang kata lupakan sahaja kesalahan Tun Mahathir kerana itu sudah lama dahulu.

Tetapi ujian sebenar sama ada Tun Mahathir benar benar ikhlas mahu berada di landasan rakyat adalah memperbetulkan kesalahannya sementara hayatnya masih ada.

Pembunuhan AsSyahid Ustaz Ibrahim Libya dan penduduk Kampung Memali. Beliau masih cukup sihat untuk berkunjung dan ziarah keluarga assyuhada dan nyatakan itu adalah kesilapannya.

Memulakan penganiayaan kepada negeri negeri umat Islam Terengganu dan Kelantan dengan tiba tiba memutarbelitkan perjanjian pengeluaran Petroleum dan menafikan hak bayaran 5% royalti Petroleum yang kesannya terlalu besar menjejaskan negeri dan rakyat yang sepatutnya sudah boleh menikmati kemajuan dan pembangunan yang lebih besar.

Tun Mahathir boleh mengakui kesalahan keputusan yang sangat jelas didorong kepentingan politik parti dan peribadi. Beliau tak boleh beri alasan tidak ada kuasa sekarang kerana kenyataan beliau cukup kuat untuk beri ruang proses penilaian semula sama ada dimulakan di mahkamah atau oleh kerajaan dipimpin Umno sekarang.

Dalam seluruh episod Anwar Ibrahim, manusia seperti Umi Hafilda, Saiful Bukhari hanyalah bagai badut sahaja. Yang memulakan kezaliman adalah Tun Mahathir sendiri.

Sepatah pengakuan beliau walau tanpa kuasa sekarang, cukup untuk mengubah keadaan dan mungkin boleh membuka jalan kepada perbicaraan baru atas kewujudan keterangan dan kemungkinan bukti baru.

Tun Mahathir tidak boleh beri alasan konon dia tidak ada kuasa sekarang untuk ubah semua tu. Tanpa kuasa pun, dia sudah boleh bercakap benar sementara mulutnya masih mampu bersuara, tangannya masih mampu menulis.

Lainlah jika beberapa tahun lagi melihat usianya sekarang, jika sudah terlantar tak mampu buat apa apa lagi.

Saya simpati pada Anwar Ibrahim.

Nyata sekali seolah-olahnya mereka yang menjadi harapan beliau sebelum ini sedang dengan bangganya memberitahu rakyat,

"Kami sudah ada Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dah tak penting lagi"

Saya percaya PAS sedang menilai keikhlasan Tun Mahathir.

Terutama dalam isu royalti petroleum yang babitkan negeri negeri orang Islam Melayu teramai yang sesudah disedut hasil mahsulnya, teraniaya daripada aspek pembangunan dan peluang ekonomi.

Negeri-negeri ini rakyatnya terpaksa mencari peluang kerja dinegeri lain. Minyak dan Gas dari perut bumi Terengganu dan Kelantan. Tetapi yang jadi taikun industri minyak dan gas, anak-anak Tun Mahathir sendiri.

Nak harapkan pemimpin pemimpin Umno Terengganu?

Mereka sejak dari dulu bangga sangat jadi broker projek memakan komisyen. Yang untuk tujuan itu perlu taat dan patuh semua sekali apa sahaja yang bos mereka di Kuala Lumpur mahukan.

Sekalipun dengan mengkhianat dan menjual rakyat dan negeri sendiri! – HARAKAHDAILY 4/4/2016

Share on Myspace