Saidina Umar tanya berapa bayar kepada pekerja kamu

IDRIS AHMAD | .

SAYA mulakan dengan perbahasan berkenaan dengan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja
dengan ayat Al-Quran daripada Surah Al-Zukhruf Ayat 32;

“Kami telah bahagikan dalam kalangan mereka itu kehidupan yang berbagai-bagai atas dunia ini dan Kami angkat darjat dalam kalangan mereka di antara satu dengan yang lain”.

Ertinya ialah Allah Taala jadikan atas dunia kehidupan kita tidak sama. Kalau semua dalam kalangan kita semuanya menjadi majikan, siapakah pula yang akan menjadi buruh ataupun pekerja? Kalau semuanya orang kaya tidak ada orang miskin, maka waktu itu walaupun ada wang tetapi kita lihat wang tidak ada harga kerana barang tidak ada.

Maka, inilah kedudukan kita antara pekerja dengan majikan. Pada hari ini kita membicarakan berkenaan dengan hal kebajikan pekerja kerana ini merupakan suruhan dan arahan terutamanya dalam agama Islam, ia cukup mementingkan soal kebajikan berkenaan dengan pekerja.

Pernah berlaku pada zaman Sayidina Umar Al-Khattab, apabila ada seorang yang datang. Majikan dia mengadu kepada Sayidina Umar berkenaan dengan barang dia dicuri oleh pekerjanya.

Maka Sayidina Umar tanya kepada majikan itu, berapa yang engkau bayar kepada pekerja kamu? Maknanya bayaran pada waktu itu tidak cukup.

Sayidina Umar kata kalau sekali lagi kamu datang mengadu barang kamu dicuri oleh pekerja kamu, bukan pekerja mu yang aku hukum tetapi kamu yang aku hukum. Ini hendak menggambarkan tentang bagaimana pentingnya soal untuk kita menjaga kebajikan pekerja.

Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita bicarakan pada hari ini ialah berkenaan dengan lebih kurang konsep takaful ataupun insurans kepada pekerja dan sekurang-kurangnya perkara yang kita bincang ini menjadi satu peraturan yang wajib dipatuhi oleh majikan dan juga pekerja.

Kebetulan kesedaran daripada kalangan masyarakat Malaysia ini untuk di dalam bidang takaful ataupun insurans agak rendah. Kalau kita melihat daripada segi Insurans Hayat Malaysia, Cuma ada sedikit peningkatannya pada tahun 2015.

Skim Perlindungan Insurans iaitu 1.24 trilion berbanding dengan tahun 2014, 1.17 trilion. Masih lagi rendah dalam jangkaan 6.2%.

Maka, apa yang kita bincang pada hari ini sekurang-kurangnya memberikan jaminan kepada pekerja-pekerja yang terutamanya dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

Memang dalam kalangan orang yang berpendapatan rendah ini dari segi simpanannya pun kurang dan mereka lebih kepada cukup-cukup untuk mereka berbelanja. Akan tetapi, dengan adanya skim ini ataupun rang undang-undang ini yang wajibkan kepada mereka, mahu tidak mahu mereka kena carum.

Maka, ini merupakan satu jaminan kepada mereka untuk pada masa depan yang kita pun tidak tahu kerana masa depan ini berlaku sebab itu apabila kita masuk di dalam skim insurans ataupun takaful, maka sudah tentu kadang-kadang sesetengah orang kata tidak perlu masuk.

Tidak perlu masuk itu ialah pada ketika dia tidak kena munasabah kerana kita yang di depan nanti kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Maka, dengan adanya skim ini, sekurang-kurang dia memberikan sedikit jaminan kepada pekerja kita.

Di sini ada beberapa isu yang saya hendak bangkitkan dan walaupun ada disentuh sepintas lalu oleh rakan-rakan daripada wakil yang dibahaskan tadi.

Pertama ialah berkenaan dengan walaupun kerajaan untuk sasarkan kepada semua pekerja dan kita harapkan juga berkenaan dengan mereka yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi yang tidak mempunyai majikan itu perlu diambil kira dalam skim ini. Mekanismenya pihak Menteri dan pegawai kena bincanglah kerana ini soal untuk menjaga kebajikan masa depan pekerja kita.

Kedua, berkenaan dengan pindaan subseksyen 75A(2) untuk mengeluarkan wakil Bank Negara Malaysia daripada panel pelaburan. Saya harapkan perkara ini perlu dikaji balik kerana isunya ialah kerana kita tahu setakat sekarang ini kedudukan terutamanya daripada Gabenor Bank Negara dan juga dari kalangan mereka bekerja di Bank Negara mereka yang masih diyakini dalam dunia kewangan pada hari ini.

Maka dengan sebab itu, untuk mengeluarkan wakil Bank Negara dalam jawatankuasa pelaburan ini perlu difikirkan semula.

Ini kerana sebelum ini kita lihat waktu Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri pindaan 2014 dan Akta Tabung Angkatan Tentera pindaan 1973 juga dicadangkan supaya pengguguran wakil daripada Bank Negara sebagai wakil panel pelaburan.

Sekali lagi saya tegaskan sepatutnya wakil Bank Negara ini dikekalkan untuk kita hendak menjaga akauntabiliti sebuah pertubuhan pekerja yang besar.

Tuan Yang di-Pertua, selain daripada isu berkenaan dengan ketiadaan wakil Bank Negara kita hendak juga di sana adanya penasihat syariah di dalam panel pelaburan Perkeso kerana ramai sebahagian besar dari kalangan pekerja-pekerja ini ialah mereka juga dari kalangan orang-orang Islam yang perlu akan kepada soal mereka memikirkan di sana berkenaan dengan hal yang berkaitan dengan soal halal ataupun berkenaan dengan haram.

Maka, saya mencadangkan juga supaya panel syariah ini mesti dibentuk, tidak ada kerugian pun kerana terutamanya dalam dunia perniagaan pada hari ini bagaimana sistem kewangan diterima pakai di peringkat dunia hari ini.

Kemudian, yang keempatnya ialah berkenaan dengan berkaitan dengan tuntutan Perkeso. Kebanyakan beban dibebankan kepada pekerja untuk membuktikan yang dia itu sakit seperti mana yang disebut tadi kadang-kadang memakan masa yang lama sedangkan penderitaan dialami oleh pekerja.

Saya mencadangkan supaya biarlah ada pemudah cara untuk memastikan supaya rang undang-undang ini lebih kepada kita mesra untuk membela kepada pekerja dan kita yakin apabila pekerja sihat, pekerja dibela dan insya-Allah di sananya akan mercunya ekonomi yang baik akan membentuk satu negara yang aman makmur dan mendapat keampunan daripada Allah SWT. – HARAKAHDAILY 4/4/2016

Petikan ucapan Ahli Parlimen Bukit Gantang ketika membahaskan Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat pada 30 Mac lalu.

Share on Myspace