Ekonomi parah sebab diurus pemimpin tidak amanah

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

MANJOI: PAS sentiasa mengajak rakyat Malaysia supaya berganding bahu tanpa mengira latarbelakang politik, agama mahupun bangsa.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Khalil Abdul Hadi berkata, PAS mengajak untuk menyelamatkan negara dan menangani masalah yang berlaku dalam negara dengan penyelesaian Islam.

Beliau berkata demikian dalam Pidato 2 Anak Tok Guru sempena program Fastaqim 3.0 Kawasan Tambun di Manjoi, 3 April lalu.

Menurutnya, semua cara dan kaedah yang digunakan untuk menyelesaikan krisis gagal untuk memulihkan, maka perlu kembali kepada Islam.

"Malaysia kini menjadi tumpuan dunia dengan pelbagai krisis yang berlaku antaranya krisis politik dengan rasuah serta salah guna kuasa yang tidak bersudahan.

"Krisis ekonomi semakin parah sedangkan negara kita mempunyai sumber hasil yang banyak tetapi malangnya pemerintahan diuruskan oleh tangan-tangan tidak amanah.

"Rasulullah SAW menyebut antara tanda-tanda kiamat adalah apabila manusia diberikan sesuatu urusan bukan kepada ahlinya maka nantikan kedatangan kiamat kelak," ujar beliau.

Jelas beliau, kemusnahan ketika kiamat berlaku di mana manusia bakal menyaksikan semua makhluk akan hancur, manakala bukit bukau dan gunung ganang menjadi debu-debu halus.

Tambah Khalil, kemusnahan bukan sahaja dalam bentuk kerosakan alam seperti gempa bumi dan banjir, bahkan juga keruntuhan akhlak sama ada dalam kalangan rakyat, bahkan lebih parah dalam kalangan pimpinan.

Beliau menyatakan punca segala masalah serta kemusnahan yang berlaku adalah kerana membelakangkan peringatan Allah, serta meninggalkan ajaran dan hukum hukum Allah.

Oleh hal yang demikian, beliau menegaskan bahawa PAS sebagai sebuah parti Islam mengajak untuk membetulkan negara melalui cara Islam kerana itulah solusi yang terjamin dalam memperbaiki negara.

"Penyelesaian Islam satu cara yang dijamin oleh Allah SWT dan juga Rasulullah SAW namun umat Islam tidak yakin kepada Islam.

"Alhamdulilah kesan dari usaha PAS yang istiqamah berdakwah kepada masyarakat, masyarakat sudah sedar tiada jalan untuk selamatkan negara melainkan dengan Islam.

"Kita tunjuk gambaran pentadbiran Islam melalui pemerintahan kerajaan negeri Kelantan walaupun ditekan dan dihalang serta keadaan serba kekurangan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz mampu membina Kelantan dengan baik," jelasnya. – HARAKAHDAILY 4/4/2016

Share on Myspace