Selangor ganda usaha kurangkan kemalangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kes kemalangan maut di Selangor mencatatkan penurunan bagi tempoh sehingga Januari 2016 berbanding Januari tahun lalu, hasil gerak kerja diusahakan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata kerajaan negeri konsisten menggandakan pelbagai usaha mengurangkan kadar kemalangan.

“Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya Selangor bekerjasama dengan pelbagai pihak memperbanyakkan aktiviti penguatkuasaan dan kempen kesedaran.

“Ia sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di kawasan kerap berlakunya kemalangan maut seperti di Kuala Selangor, Kajang dan Hulu Selangor,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Rua Razaly Hassan berhubung statistik kemalangan maut jalan raya di Selangor.

Zaidy berkata, sebanyak 77 kes kemalangan maut dilaporkan sehingga Januari 2016 berbanding 103 pada 2015 dengan penurunan sebanyak 26 kes.

Sementara itu, Kajang mencatatkan kes tertinggi kemalangan maut menerusi 12 kes kematian dengan 1,309 kemalangan dilaporkan.

Beliau berkata pelaksanaan pendidikan keselamatan jalan raya di peringkat kanak-kanak diterapkan supaya manfaat mengenainya dinikmati semua pihak.

“Kerajaan bersama pelbagai agensi dan pihak swasta lain menyokong pelaksanaan pendidikan keselamatan jalan raya bermula dari peringkat kanak-kanak di sekolah.

“Pelaksanaannya dilihat mampu melahirkan generasi baru pengguna jalan raya mengamalkan budaya selamat, beradab, berhemah dan berhati-hati di jalan raya sebagai rancangan jangka panjang,” katanya.

Share on Myspace