Ahli Umno turut hadir Fastaqim 3.0

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

TAMBUN: Fastaqim 3.0 di Perak menutup tirainya dengan pelbagai peristiwa manis sepanjang berlangsungnya program.

Antara yang menarik perhatian ialah slot Pidato bersama Dua Anak Tok Guru dengan menampilkan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Muhamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Khalil Abdul Hadi yang turut menarik minat orang Umno untuk hadir bersama.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Fariq Izwan Bahrin, ketika dibuka sesi soal jawab seorang dari hadirin bangun mengajukan soalan kepada panel dan menyatakan bahawa beliau adalah seorang ahli Umno dan masih lagi bersama dengan Umno

Program selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 April ini dianjurkan oleh Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi PAS Perak dengan kerjasama PAS Kawasan Tambun.

Menurut pengarahnya, Ustaz Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz berkata, prorgam tersebut dianjurkan untuk membawa mesej Islam kepada masyarakat setempat.

Tambah beliau, kefahaman Islam yang sebenar perlu disampaikan supaya rakyat memahami perjuangan PAS di atas paksi Islam adalah untuk menyelamatkan manusia dari terus lalai dalam kehidupan dunia.

"Sambutan dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak termasuk pimpinan PAS Perak dan Kawasan Tambun, anak muda tempatan dan masyarakat setempat sangat menggalakkan.

"Pendekatan program seumpama ini dapat mengeratkan hubungan antara pimpinan dan ahli serta memberikan peluang kepada masyarakat melontarkan pandangan demi kebaikan bersama.

"Harapan dari PAS Perak adalah untuk melihat perubahan yang besar bakal berlaku untuk memberikan peluang kepada PAS mentadbir negeri Perak seterusnya memastikan krisis yang membelenggu kehidupan diberikan perhatian sewajarnya," ujar beliau.

Program yang berlangsung selama dua hari tersebut telah disusun dengan beberapa bentuk aktiviti yang melibatkan pimpinan PAS Negeri dan Kawasan bersama masyarakat setempat.

Antaranya seperti edaran Harakah di Pasar Awam, Cuci Kereta Percuma, Ziarah Mahabbah, Kenduri Rakyat, Pidato Dua Anak Tok Guru dan Forum Rakyat serta beberapa aktiviti lain. – HARAKAHDAILY 4/4/2016

Share on Myspace