Finas perlu diberi autoriti kritik filem kontroversi

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu diiktiraf sebagai badan yang berautoriti untuk mengeluarkan kritikan dan pandangan terhadap filem-filem yang menimbulkan kontroversi.

Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary berkata, Finas boleh mengkritik filem antarabangsa misalnya filem Muhammad SAW yang dihasilkan oleh pengarah terkenal Majid Majidi dengan menelan belanja RM164 juta.

Bahkan katanya, filem tersebut telah mendapat bantahan umat Islam di seluruh dunia kerana bertentangan dengan prinsip agama, walaupun ia tidak ditayangkan di dalam negara.

"Saya merasakan Finas ini bukan sahaja lembaga penafisan filem di dalam negara juga perlu diberi autoriti mengkritik filem di peringkat antarabangsa," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, rakyat boleh memuat turun dari internet dan ia juga perlu garis panduan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menetapkan mana-mana filem yang boleh dan tidak boleh ditonton terutama bertentangan dengan prinsip agama.

Malangnya, jelas beliau banyak filem yang berunsurkan tahyul yang sangat melampau daripada negara jiran ditayangkan di saluran televisyen termasuk Astro.

"Syarat-syarat begitu ketat untuk filem dalam negara tetapi bukan untuk filem daripada negara jiran. Jadi saya rasakan pihak kerajaan perlu melihat secara holistik terhadap penyebaran filem yang bertentangan dengan agama Islam," jelas beliau.

Beliau turut meminta Finas menyatakan indikator yang digunakan untuk mengukur kejayaan atau kegagalan sesebuah filem sama ada melalui jualan tiket dan sambutan atau mesej yang hendak disampaikan.

"Kerana pembikinan filem juga menjadi medium untuk menyebarkan dakyah dan perkara yang tidak sepatutnya disampaikan," jelas beliau.

Di dalam soalan asal Marzuk meminta Menteri Dalam Negeri  menyatakan apakah Kerajaan bersedia untuk memanfaatkan fungsi Lembaga Penapisan Filem memastikan filem yang ditayangkan kepada umum menepati syariat Islam. – HARAKAHDAILY 4/4/2016

Share on Myspace