Geng Ustaz gesa contohi akhlak pelumba Malaysia

HARAKAHDAILY | .

Geng Ustaz ingin merakamkan sekalung tahniah atas kejayaan Khairul Idham Pawi, yang berjaya mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP Dunia bagi kategori Moto3 dalam Grand Prix Motosikal Argentina.

Pelumba anak muda berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia berjaya menamatkan dengan jayanya 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.

Geng Ustaz juga ingin mengucapkan syabas atas semangat yang ditunjukkan rakan Khairul, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan dengan menolak motosikalnya ke garisan penamat.

Geng Ustaz amat mengagumi dengan kejayaan yang dicapai oleh Khairul Pawi khasnya dalam sukan permotoran bertaraf dunia dan kejayaan yang lebih mahal pada pandangan Geng Ustaz ialah apabila akhlak terpuji yang ditunjukkan oleh Khairul dengan menjaga batasan agama apabila beliau tidak bersama dalam acara 'semburan arak’ sewaktu penyampaian piala kemenangan.

Geng Ustaz beranggapan ini satu kejayaan yang paling manis dan paling berharga apabila seorang anak muda yang tidak mudah hanyut dengan perkara negatif dalam aktiviti sukan apatah lagi ketika mencapai kejayaan cemerlang.

Apa yang ditunjukkan oleh Khairul Pawi adalah menepati perintah Allah s.w.t. dalam al Quran di mana Allah telah berfirman dalam Surah An-Nisa' ayat 140.

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

"Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam..."

Geng Ustaz dengan ini menyeru kepada semua pihak khasnya anak muda dan juga atlet sukan dalam apa jua bidang agar menjadikan Khairul Pawi sebagai contoh yang patut diikuti dan diteladani.

Ini menunjukkan bahawa Islam sebenarnya amat menggalakkan agar umatnya aktif dalam aktiviti kesukanan dengan mengekali pegangan agama dan masih mampu beroleh kejayaan cemerlang.

Majulah Sukan Untuk Agama dan Negara

Ustaz Norazli Musa
Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz)
4 April 2016 / 26 Jamadil Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 4/4/2016

Share on Myspace