TMK 2016: Kedatangan pelancong bertambah

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Usaha kerajaan negeri mempromosi negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016 menampak kejayaan apabila kedatangan pelancong bertambah pada Januari lepas berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pada Januari lepas seramai 500,000 pelancong berkunjung ke Kelantan iaitu pertambahan 12,000 orang berbanding Januari tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata kedatangan pelancong dijangka mencapai sasaran ditetapkan kerajaan negeri.

"Tahun ini disasarkan seramai 6 juta pelancong datang,” katanya pada sidang media Festival Silat Antarabangsa di Kota Darulnaim petang semalam.

Festival Silat Antarabangsa 2016 akan diadakan selama dua hari bermula 9 April ini. Manakala pertandingan silat jatuh sempena festival itu akan diadakan di Padang Hoki Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Perasmiannya akan disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada 9 April di Dewan Jubli MPKB-BRI.

Md Anizam berkata dijangka seramai 10,000 pelancong dan pengunjung berkunjung ke Festival Silat Antarabangsa kali ketiga yang di Kelantan.

"Seramai 415 pesilat tempatan dan luar negara termasuk Thailand, Indonesia, Austria dan Brazil akan menyertai festival tersebut," katanya.

Beliau juga berkata sempena pembukaan festival berkenaan pada 9 April akan diadakan dengan perarakan pesilat sejauh 1.5 km mengelilingi bandar diiringi paluan muzik silat bermula jam 10 pagi.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan Penolong Setiausaha (Pelancongan dan Kebudayaan), Mohd Sabilly Mohd [email protected] dan Pengerusi Pengerusi Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara (WARIS), Dr Kamal Shah Abdullah dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Gayongman Segerak Kelantan, Shafie Husin. – HARAKAHDAILY 5/4/2016

Share on Myspace