Tudung bukan sekadar bungkus kepala tetapi akhlak

HARAKAHDAILY | .

Bertudung merupakan suatu kewajipan ke atas seorang wanita muslimah. Ia patut untuk mendidik pemakainya dan penjualnya berakhlak mulia kerana ia bukan sekadar masalah hukum, tetapi lebih dari itu ia melibatkan persoalan akhlak.

Lagi mulia seseorang itu, lagilah ia perlu untuk menjaga penampilannya dengan baik dan sempurna.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan video pergaduhan sesama pelanggan di sebuah tempat jualan tudung yang berfesyen yang disebarkan di dalam media baru.

Ia tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak yang terlibat dengan jualan beli tudung patut mengambil berat soal akhlak.

Kepada pembeli tudung, pemikihan jenis tudung amat penting agar tidak sekadar membungkus kepala tetapi ialah menjaga aurat sebagai seorang muslimah.

Janganlah ada yang menutup kepala tetapi pada hakikatnya masih jauh dengan perintah Allah.

Selain itu, perlu ingat bahawa matlamat menutup aurat bukan sekadar untuk menjaga zahir sahaja, tetapi ialah untuk menjaga hati agar hilang sifat menunjuk-nunjuk, sombong, berasa lawa sangat dan sebagainya.

Kepada penjual tudung, kita bertanggung jawab di hadapan Allah apabila kita menyediakan tudung yang tidak patuh syariah.

Mungkin itu adalah salah pembeli yang membeli tudung berkenaan, tetapi penjual juga turut menyumbang saham dengan menyediakan tudung yang tidak patuh syariah.

Selain itu, jangan pula ada penjual tudung, tetapi dia sendiri tidak bertudung, seolah-olah ia merupakan suatu produk budaya sahaja.

Panduan umum tentang tudung patuh syariah telah diberikan oleh ulama, yang tidak susah untuk kita mematuhinya.

Sekiranya para penjual dapat menyediakan tudung yang patuh syariah sehingga dapat membuat gelombang besar kepada masyarakat, pahalanya sungguh besar.

Saya mengajak semua pihak yang berkaitan dengan jual beli tudung, sama ada penjual, pembeli, pereka fesyen, penjahit dan sebagainya agar menjadikannya sebagai suatu tuntutan Islam, bukan sekadar produk budaya dan apatah lagi semata-mata untuk mengaut keuntungan sahaja.

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor
27 Jamadil Akhir 1437 / 5 April 2016 - HARAKAHDAILY 5/4/2016

Share on Myspace