Utamakan rumah rakyat, bukan hanya kaut untung

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasakan sudah sampai masanya kerajaan perlu menyelaraskan di semua peringkat baik di sektor awam mahu pun swasta berkaitan perumahan kos rendah atau rumah mampu milik.

Disebabkan rumah kos rendah menjadi keperluan mendesak kepada rakyat terutamanya di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, harga rumah dan jumlah yang dibina tidak mencerminkan keperluan rakyat diutamakan berbanding mengaut keuntungan semata-mata.

Rumah kediaman adalah termasuk dalam perkara hajiyyat (keperluan) yang telah ditentukan dalam Islam. Maka, menjadi kewajipan kepada Kerajaan untuk memudahkan rakyat memilikinya.

Malangnya pada hari ini, perkara-perkara yang termasuk dalam kategori tarfihiyyah seperti taman-taman, perhiasan, zoo dan lain-lain yang lebih diberikan perhatian oleh kerajaan.

Harga rumah kos rendah yang dibina sekarang tidak sepadan dengan pendapatan golongan sasar untuk jenis perumahan tersebut.

Malah jika dilihat harga yang ditawarkan umpamanya di bawah PR1MA, harga RM400,000 ke bawah yang bergantung kepada lokasi adalah kurang wajar serta tidak munasabah. Jika dilihat rata-rata pendapatan golongan sasar, ia terlalu jauh dari jangkauan.

Majoriti rakyat yang memerlukan rumah mampu milik berpendapatan sekitar RM3,000 ke bawah sebulan, setelah ditolak kos sara hidup dan perbelanjaan, keinginan mereka untuk memiliki rumah idaman menjadi igauan semata-mata.

Begitu juga pemaju swasta yang rata-ratanya seolah-olah tidak berminat membina rumah kos rendah atau rumah mampu milik.

Taman-taman perumahan yang dibina milik konglomerat besar hanya membina kebanyakannya rumah berharga sekitar RM500,000 ke atas.

Jika terdapat pun yang membina rumah yang dikategorikan sebagai rumah kos rendah, harganya juga terlalu jauh dari jangkauan golongan sasar.

Walaupun wujud begitu banyak taman perumahan tetapi hakikatnya ia tidak mampu dimiliki oleh rakyat yang benar-benar dambakan rumah sendiri.

DPPM merasakan kerajaan perlu mewujudkan satu makenisme atau badan bertindak mengawal selia projek-projek perumahan terutamanya yang membabitkan rumah mampu milik atau kos rendah.

Perlunya ada pengawalan dari segi harga, mutu binaan dan juga kouta rumah mampu milik atau rumah kos rendah yang wajib dibina dalam sesuatu kawasan perumahan atau komuniti perumahan.

Begitu juga kepada pihak swasta, kerajaan perlu tegas dalam soal pembinaan taman-taman perumahan baru dengan mewujudkan kouta rumah kos rendah yang perlu dibina, tidak semata-mata rumah mewah dan mampu mengaut untung tinggi.

DPPM mahu agar Kerajaan memantau pemaju-pemaju perumahan agar tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga tidak masuk akal untuk rumah mampu milik atau rumah kos rendah baik dari kalangan sektor swasta mahupun kerajaan.

Perlunya dipraktikkan Corporate Social Responsibility (CSR) atau Tanggungjawab Sosial Korporat dengan berkesan dan betul, dengan memastikan setiap rakyat mampu memiliki rumah sendiri dan tidak memikirkan untung semata-mata.  

Namun apa yang dilihat sekarang yang menjadi keutamaan hanyalah keuntungan, nasib rakyat seolah-olah langsung tidak dihiraukan terutamanya daripada pemaju swasta.

Hingga Mac 2015, terdapat 405,000 orang yang memohon rumah mampu milik di bawah PR1MA di seluruh negara, namun jika dilihat natijah sekarang, rakyat terpaksa menunggu lebih lama atau hanya berputih mata dengan sikap sesetengah pihak.

Rakyat perlu diutamakan di saat pelbagai tekanan ekonomi yang dihadapi sekarang. Rumah menjadi keutamaan terutamanya bagi yang berkeluarga dan berpendapatan rendah.

Rakyat tidak mampu memiliki mahligai jutaan Ringgit, namun cukup sekadar keluhan dan keperluan mereka ditunaikan dengan penuh tanggungjawab dan bukan hanya retorik semata-mata.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
5 April 2016 | 27 Jamadil Akhir 1437 - HARAKAHDAILY 5/4/2016

Share on Myspace