Syabas, Khairul Idham tunjuk contoh pelumba Muslim

HARAKAHDAILY | .

Tahniah kepada pelumba motor muda negara Khairul Idham Pawi.

DACS Selangor merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pelumba motor muda negara, Saudara Khairul Idham Pawi, 17 tahun kerana telah menjuarai siri kejohanan Moto GP Dunia di Litar Termas de Rio Hondo dalam kategori Moto3, Grand Prix Motorsikal Argentina.

Khairul Idham Pawi mengatasi rakan sepasukan Honda, Jorge Navarro dari Sepanyol dan pelumba Afrika Selatan mewakili KTM, Brad Binder. Ia sekali gus mencipta sejarah sukan negara apabila menjadi anak muda tempatan pertama menjuarai Moto GP.

DACS Selangor turut mengucapkan tahniah kepada seorang lagi pelumba negara yang turut bersaing dalam perlumbaan yang sama iaitu Saudara Adam Norrodin. Walaupun mengalami kemalangan, Adam tetap berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-11.

Kejayaan ini membuktikan pelumba motor negara mampu untuk menempa kejayaan di pentas permotoran dunia sebaris dengan negara-negara yang terkenal melahirkan jaguh motosikal dunia seperti Sepanyol, Itali, USA dan lain-lain lagi.

Dengan latihan yang terkini dan pendedahan awal untuk berlumba di pentas antarabangsa, ia mampu untuk mematangkan pelumba-pelumba negara sekaligus dapat bersaing dengan jaguh dunia yang lain.

Pendedahan awal Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin dalam Moto3 adalah amat baik kerana ia dapat menjadi batu loncatan kepada mereka berdua untuk bersaing ke kategori yang lebih tinggi lagi iaitu Moto2 dan MotoGP.

Sudah tiba masanya pelumba negara untuk bersaing dengan jaguh motosikal dunia seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Marc Marquez dan lain-lain.

Akhir kalam, DACS Selangor turut berbangga dengan Khairul Idham Pawi apabila menunjukkan contoh yang baik sebagai pelumba Muslim.

Beliau tidak meraikan kejayaannya di atas podium dengan menyembur minuman keras seperti kebiasaannya bagi para pemenang. Ini adalah contoh terbaik kepada seluruh anak muda agar tidak meninggalkan tuntutan Islam meskipun ketika bersukan.

DACS Selangor berharap pihak KBS memandang kejayaan yang dicapai oleh Khairul Idham Pawi ini sebagai alasan untuk menyalurkan lebih banyak lagi peruntukan bagi melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh lumba motorsikal dari Malaysia.

Perbanyakkan litar lumba kos rendah di peringkat akar umbi di seluruh negara untuk memberi ruang yang lebih luas kepada anak muda menunjukkan bakat masing-masing.

Contoh terbaik yang ada ialah di Selangor. Di Selangor, kami ada Litar Lumba Rakyat, Stadium Kuala Selangor. DACS Selangor turut sama menggalakkan anak muda untuk berlumba di sini.

Dengan bayaran rendah, para pelumba di kalangan anak muda boleh mengasah bakat masing-masing sekali gus mengurangkan kadar lumba haram. Mungkin dari litar rakyat inilah akan melahirkan jaguh dunia satu hari nanti.

Tahniah Khairul Idham Pawi! Anda memberi inspirasi kepada seluruh anak muda di Malaysia.

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor
Dewan Pemuda PAS Selangor - HARAKAHDAILY 5/4/2016

Share on Myspace