Kaji undang-undang lebih baik atasi masalah dadah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan seumpamanya membuat kajian apakah undang-undang yang lebih baik bagi mengatasi masalah dadah di negara hari ini.

Katanya, Jakim perlu diberi peluang untuk membuat kajian yang mendalam bagi menggubal undang-undang baharu menggantikan undang-undang yang gagal.

Jelasnya, kegagalan undang-undang sekarang kerana ia hanya mempunyai aspek lahiriah sahaja tanpa wujud spiritual atau kerohanian seperti undang-undang Islam.

"Perlu diketahui bahawa perkara yang berkait dengan pencegahan dadah adalah termasuk dalam undang-undang jenayah. Islam membahagikan udang-undang jenayah kepada tiga bahagian iaitu qisas, hudud dan takzir.
 
"Qisas dan hudud adalah dinaskan di dalam al Quran dan hadis. Takzir diserah kepada budi bicara pihak berkenaan dan badan kehakiman untuk menjalankan urusan ini. Sudah tentu undang-undang yang berkait dengan dadah adalah undang-undang takzir," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika membahaskan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang merupakan orang pertama membahaskan usul itu, berkata, pendekatan yang perlu diambil adalah mendidik bukannya menghukum.

Ini kerana, katanya, dengan menghukum sahaja ianya tidak memberi kesan mendalam kepada masyarakat apatah lagi sekadar membayar denda khususnya mereka yang terlibat dengan dadah.

"Undang-undang yang ada sekarang tidak akan mendatangkan kesan yang sebaik-baiknya kerana mereka mempunyai duit dan membayar dengan senang bagitu juga hukuman penjara," katanya.

Oleh yang demikian, jelas Ustaz Abdul Hadi, hukuman takzir adalah yang paling tepat mengikut perundangan Islam iaitu hukuman sebat, bagi memalukan bukannya menyiksa dan mencederakan pesalah.

"Sebat di khalayak ramai dirasakan oleh penjenayah, ditakuti kepada bakal penjenayah dan disedari oleh masyarakat," katanya. - HARAKAHDAILY 5/4/2016

Share on Myspace