Moto3: Khairul Idham bekas pelajar Pasti rupa-rupanya

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

PASIR SALAK: Kejuaraan Khairul Idham dalam perlumbaan Kejohanan MotoGP Dunia bagi kategori Moto3 dalam Grand Prix Motosikal Argentina merupakan hadiah terbesar buat keluarga.

Bapa beliau Pawi Omar berkata, anaknya merupakan bekas pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Nurul Iman, Kampung Gajah sekali gus membuktikan kepada dunia didikan agama mampu mencipta nama di persada antarabangsa.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika pertemuan Dewan Pemuda PAS Perak di kediamannya di Kampung Gajah, di sini.

Jelasnya, Khairul Idham pernah mengatakan kesusahan beliau memperoleh makanan halal di perantauan terutama negara Eropah.

Menurut Pawi, dia sentiasa mengingatkan anaknya agar tidak melupakan amalan bersedekah dan berzakat kerana itu adalah jalan mendapat keberkatan rezeki yang Allah kurniakan.

"Saya tidak meletakkan keuntungan wang ringgit kepada anak saya dalam setiap kejuaraan namun sebaliknya yakin setiap rezeki yang Allah tentukan.

"Minatnya pada sukan motosikal seawal usia 12 tahun lagi sehingga saya memberikan kepercayaan kepadanya untuk merealisasikan minat Khairul.

"Walaupun tanpa jurulatih dia tetap gigih berlatih di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak sehingga mampu pergi ke peringkat dunia hari ini," ujarnya menceritakan usaha keras anak beliau.

Pawi juga turut berkongsi bagaimana beliau terpaksa menggunakan duit sendiri demi merealisasikan cita-cita anaknya untuk berjaya menjadi seorang pelumba motosikal.

Turut serta dalam ziarah tersebut, Ketua Pemuda PAS Perak; Ustaz Akmal Kamaruddin, Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Salak;  Ustaz Kamal Shaari, Ketua Pemuda PAS Kawasan Pasir Salak; Ustaz Amir Hamzah serta beberapa pimpinan Pemuda PAS Perak dan kawasan Pasir Salak. – HARAKAHDAILY 5/4/2016

Share on Myspace