PRN Sarawak: PAS sahkan letak calon bukan Islam

HARAKAHDAILY | .

 

MIRI: PAS Sarawak buat julung kalinya akan meletakkan calon bukan Islam pada Pilihan Raya Negeri Sarawak namun, identiti calon itu hanya akan didedahkan kemudian.

Calon bukan Islam itu adalah antara 11 calon PAS yang akan diletakkan, dalam usaha untuk bertapak dalam  politik Sarawak, pada pilihan raya negeri ke-11.

Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili mengesahkan buat julung kalinya parti "Pengumuman rasmi kesemua 11 calon, termasuk calon bukan Islam itu dan satu-satunya calon wanita, akan diumumkan malam ini di Bintulu," katanya.

Mukhtar berkata kali ini calon-calon PAS daripada pelbagai latar belakang dan merupakan profesional daripada syarikat multinasional, pesara, usahawan dan bekas penjawat awam.

"Kami telah turun padang ke seluruh Sarawak menerusi program kami dipanggil "Untukmu Sarawak" yang telah dilaksanakan pada 2014 dan berdasarkan maklum balas, kami yakin yang kami ada peluang," katanya.

Bagi pilihan raya negeri ke-11, PAS akan bertanding di Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju, yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 2011, PAS bertanding di lima kawasan - Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini mengumumkan DUN akan dibubarkan pada 11 April ini bagi diadakan pilihan raya negeri ke-11. – HARAKAHDAILY 6/4/2016

Share on Myspace