Penghulu Dun Salor ikrar pertahan ulama

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir | .

KOTA BHARU: Seramai 14 penghulu kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor berikrar mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama.

“Insya-Allah kami akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin. Terima kasih di atas pelantikan dibuat kerajaan negeri,” kata penghulu Kota Jelasin Zainuddin Mohammad.

Beliau berkata demikian pada majlis pelantikan penghulu Dun Salor di JKR 10 di sini, semalam.

Sebelum itu beliau dan rakan-rakan melafaz ikrar penerimaan pelantikan di hadapan anggota Exco kerajaan negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Ketika persidangan Dun Kelantan Mac lepas Adun Salor Datuk Husam Musa mengkritik kerajaan negeri kerana lambat melantik penghulu di Dun Salor.

Che Abdullah berkata biar pun mereka baru dilantik, namun elaun bulanan dibayar bermula Januari lepas.

“Kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan penghulu yang berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Hadir sama Adun Tawang Datuk Hassan Mohamood, Pengarah Urusetia Majlis Penghulu Kelantan, Jamaluddin Ishak dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamad. - HARAKAHDAILY 6/4/2016

Share on Myspace