Rafizi bukan ketua penyeludup diesel

HARAKAHDAILY | .

Saudara Rafizi Ramli bukan ketua penyamun atau ketua penyeludup diesel. Beliau ialah Ahli Parlimen Malaysia dan Naib Presiden PKR.

Cara tangkapan yang dilakukan kepada beliau seolah-olah beliau merupakan orang yang amat merbahaya kepada negara.

Walaupun Ketua Polis Negara menyebut ia menepati dengan SOP Polis, bukankah ia ada kuasa budi bicara.

Rafizi yang ditangkap di luar pagar Parlimen oleh sekumpulan sepuluh orang anggota polis. Difahamkan beliau ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi.

Apakah ada rekod YB Rafizi degil tidak hadir ke balai polis jika dipanggil? Adakah beliau orang yang pernah lari daripada lokap. Adakah beliau memiliki senjata api yang merbahaya?

Ketua Polis Negara jangan merosakkan imej mulia sebahagian besar anggota polis yang menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Janganlah waktu kita berkuasa, kita bercakap dan bertindak seolah-olah kita kekal berkuasa sehingga kiamat.

Ingat kuasa hanya amanah sementara di dunia, semuanya akan diperhitung pada hari yang tidak ada lagi pangkat, pemimpin dan kawan yang boleh membantu kita. Waktu itu penyesalan tidak ada makna.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
28 Jamadil Akhir 1437 / 6 April 2016 - HARAKAHDAILY 6/4/2016

Share on Myspace