Pan-Borneo: Utamakan kualiti dan kemudahan

HARAKAHDAILY | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyambut baik perancangan kerajaan untuk membina lebuh raya Pan-Borneo yang akan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Walau bagaimanapun, PAS Sabah menyarankan kepada kerajaan agar memberi penekanan kepada beberapa perkara;

1. Pihak kerajaan diminta mengutamakan kepada kualiti pembinaan dan struktur jalan raya. Berdasarkan kepada pemerhatian PAS Sabah, pembinaan jalan raya utama seperti jalan raya Kota Kinabalu-Kimanis-Keningau dan jalan raya Kota Kinabalu-Sepulut-Kalabakan, kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat soal kualiti dan keselamatan.

PAS melihat kos jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk pembinaan jalan raya seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk keselesaan dan keselamatan pengguna. Kebanyakan jalan yang dibina antara 2 hingga 5 tahun sudah mengalami kerosakan.

2. Kerajaan diminta menyediakan kemudahan yang mencukupi untuk keperluan pengguna. Berdasarkan contoh jalan raya Kota Kinabalu-Kimanis-Keningau- Kalabakan, pihak berkuasa tidak menyediakan kemudahan yang sempurna kepada pengguna.

PAS amat berharap kerajaan menyediakan kemudahan yang sempurna seperti kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) seperti yang terdapat di lebuh raya di Semenanjung Malaysia. PAS Sabah melahirkan rasa terkilan apabila terdapat jalan-jalan utama di Sabah yang tidak disediakan kemudahan seperti surau, medan selera dan tandas yang sempurna oleh pihak berkuasa.

3. PAS Sabah amat mengharapkan supaya pihak berkuasa menyegerakan penyelenggaraan terhadap sebarang kerosakan yang berlaku ke atas jalan raya yang dibina. Sepanjang pemerhatian kami, kebanyakan jalan raya di Sabah, termasuk jalan-jalan utama tidak diselenggara dengan baik.

Jalan-jalan yang tidak rata dan berlubang seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan ke atas jalan raya di Sabah. Ini pasti akan mendatangkan kesan negatif khususnya boleh menyebabkan kemalangan.

Akhirnya, PAS Sabah mengharapkan agar peruntukan pembinaan lebuh raya ini digunakan dengan sebaiknya dan pengguna mestilah diutamakan dalam sebarang keputusan yang dibuat.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya
PAS Negeri Sabah
6 April 2016 – HARAKAHDAILY 6/4/2016

Share on Myspace