Dadah: Hukuman mati mandatori gagal

HARAKAHDAILY | .

DALAM perbahasan umum yang dimulakan bagi membahas Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Saya ingin menarik perhatian kegagalan yang berlaku dalam undang-undang Barat yang sering kali menjadi rujukan kita adalah kerana undang-undang itu hanyalah mempunyai aspek lahiriah sahaja tanpa wujud aspek spiritual atau rohani dalam undang-undang, yang merangkumi aspek ini ialah undang-undang Islam.

Perlu diketahui bahawa perkara yang berkait dengan pencegahan dadah, hukumannya ada termasuk di dalam undang-undang jenayah. Islam membahagikan undang-undang jenayah itu kepada tiga bahagian. Pertama, qisas.

Kedua, hudud dan yang ketiga takzir. Qisas dan hudud termasuk dalam undang-undang yang dinaskan dalam Quran dan hadis. Adapun takzir terserah kepada budi bicara pihak yang berkenaan dan badan kehakiman untuk mengendalikan urusan ini.

Sudah tentu undang-undang yang berkait dengan dadah ini adalah undang-undang takzir. Pendekatan yang perlu diambil ialah pendekatan mendidik bukan menghukum. Menghukum sahaja tanpa mendidik tidak memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat.

Undang-undang seperti sekadar bayaran denda khususnya kepada yang terlibat dengan dadah tidak akan mendatangkan kesan yang sebaik-baiknya kerana mereka punya duit, boleh bayar dengan senang begitu juga dengan penjara.

Takzir yang lebih tepat dalam perundangan Islam ialah hukuman sebat bagi memalukan, bukan menyeksa.

Sebat yang tidak mencederakan, sebat di khalayak ramai dirasakan oleh penjenayah dan ditakuti oleh bakal penjenayah dan disedari oleh masyarakat.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya pihak kerajaan merujukkan perkara ini kepada badan-badan yang berkenaan dengan kajian Islam seperti Ikim, Jakim dan seumpamanya, supaya diberi peluang untuk memberi perisa yang lebih mendalam bagi menggubal undang-undang yang baru, mengganti undang-undang yang telah gagal.

Walaupun undang-undang yang sangat keras terhadap pengedar hukuman mati mandatori sehingga hari ini tidak boleh mengatasi masalah itu.

Cadangan saya ialah diizinkan supaya pihak yang berkenaan mengenai Islam membuat kajian, apakah undang-undang yang lebih baik bagi mengatasi masalah ini?  - HARAKAHDAILY 6/4/2016

Petikan perbahasan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat pada 5 April 2016.

Share on Myspace