PAS terbuka, letak calon bukan Islam - Ust Mad Cina

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

BINTULU: Keputusan PAS menamakan calon bukan Islam pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 kali ini menjelaskan keterbukaan parti ini, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohammad Ibrahim yang dikenali dengan nama Ustaz Mad Cina (UMC). (Gambar bawah kiri)

Beliau yang ditemui selepas majlis pengumuman calon di Hotel Kemena dekat sini hari ini berkata, keputusan itu memperlihatkan PAS tidak pernah menafikan hak dan anutan kepercayaan bangsa lain.

Kata beliau, PAS menyertai PRN11 ini dalam semangat keterbukaan dan tuduhan kononnya PAS tidak meraikan kepelbagaian suatu yang salah.

"Kita cukup bangga dengan pengumuman ini. PAS meletakkan calon yang sesuai dengan keadaan, tempat dan tidak menafi hak agama lain atau kaum lain. Inilah keterbukaan PAS," kata beliau lagi.

Kata Ustaz Mohammad lagi, dengan PAS meletakkan calon bukan Islam ini, dalam semangat perpaduan nasional selain meraikan kepelbagaian, LPN DPPM yakin PAS mampu mendapat tempat di hati masyarakat Sarawak.

Biarpun kali pertama meletakkan calon bukan Islam, Ustaz Mad Cina berkata kehadiran Clement Bayang satu percubaan berani dan akan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Calon PAS di Dun Kakus, Clement Bayang, 56 adalah bekas calon di Dun Kemena dan seorang beragama Kristian.

Clement Bayang antara aktivis yang cukup aktif di kawasan ini. – HARAKAHDAILY 6/4/2016

Share on Myspace