PAS jawab fitnah setuju Rafizi ditangkap

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menolak fitnah kononnya Majlis Syura Ulamak setuju Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ditangkap di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Zaman fitnah. Petang semalam saya dapat satu kenyataan kononnya Majlis Syura Ulamak setuju Rafizi ditangkap kerana tepat dengan Al-Quran dan As-Sunnah," ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Katanya, kenyataan itu tanpa nama, cuma atas nama Setiausaha Majlis Syura.

"Semua orang bertanya adakah ini kenyataan Majlis Syura Ulamak PAS. Tidak logik langsung daripada Majlis Syura Ulamak PAS," jelasnya.

Beliau menegaskan PAS konsisten menentang akta yang zalim.

Tegas beliau, sememangnya tulisan itu berniat jahat, fitnah dan berhati busuk untuk memberi gambaran buruk kepada Majlis Syura Ulamak PAS.

"Walaupun tidak letak nama Majlis Syura Ulamak, cuma letak Majlis Syura sahaja. Di Malaysia mana ada pertubuhan yang ada Majlis Syura yang dilembagakan di dalam Perlembagaan.

"Sama juga ada yang hendak fitnah PAS kononnya ada ahli PAS bahagian yang keluar PAS, sedangkan PAS guna kawasan bukan bahagian," jelasnya lagi.

Baginya, semua itu bertujuan untuk membentuk persepsi buruk kepada PAS.

Sebelum ini, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu disebar PAS mendapat habuan RM2.6 bilion.

"Wahai pemfitnah buatlah, tulislah apa yang kamu hendak fitnah kepada PAS selagi jari kamu boleh menulis. Sebelum jari kamu kaku. Buatlah ikut kehendak kamu, selagi mana kamu hendak buat.

"Mungkin kamu terlepas hukuman di dunia, tetapi tulisan kamu menjadi saksi dan bukti ketika bertemu Allah SW. Ingat ahli PAS ada 1.2 juta ahli. Ada dalam kalangan mereka doa yang mustajab oleh Allah SWT," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 7/4/2016

Share on Myspace