Anak muda Sarawak makin tertarik dengan PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali melahirkan keyakinan pada Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak pada kali ini berdasarkan kehadiran anak-anak muda pada majlis malam tadi.

Katanya, ia menunjukkan satu perubahan besar dalam kalangan rakyat Sarawak yang inginkan perubahan pemerintahan di negeri itu.

Kehadiran rakyat Sarawak pada malam tadi yang melebihi jangkaan merupakan satu suasana yang luar biasa berdasarkan pengalaman beliau sepanjang penglibatan dalam pilihan raya di negeri itu.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRN Sarawak ke-11 di sebuah hotel di Bintulu, malam tadi. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengisytiharkan 11 calon PAS yang bertanding pada PRN kali ini.

Menurutnya, kehadiran yang memberangsangkan itu merupakan bukti kerja hebat yang telah dilakukan oleh jentera di semua peringkat.

Tambahnya, ia juga membuktikan ada harapan bagi rakyat Sarawak melihat perubahan pemerintahan di negeri itu.

"Kerja kuat yang dilakukan membuktikan kita mempunyai kesungguhan untuk capai kemenangan di semua 11 Dun.

"Biarpun menang semua Dun ini tidak memungkinkan kita menjadi kerajaan, namun sekurang-kurangnya kita dapat menjadi check and balance bagi kerajaan pusat," ujarnya dipetik laman rasmi PAS bagi PRN Sarawak.

Jelasnya, pemilihan 11 calon telah dipersetujui oleh Majlis Syura yang mana mereka yang dipilih merupakan cadangan dari peringkat akar umbi yang terdiri daripada rakyat Sarawak sendri.

"Pada pilihan raya kali ini kita telah mengatur jentera pilihan raya paling hebat yang menggambarkan cita-cita kita untuk menang di Sarawak bukan sekadar satu khayalan," ujarnya lagi.

Malah, kata beliau berdasarkan maklum balas yang diterima daripada gerak kerja yang dilaksanakan calon PAS mempunyai harapan untuk menang pada PRN kali ini.

Share on Myspace