Sarawak perlukan perubahan demi rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rakyat Sarawak perlu menjadi suara yang berani untuk melakukan perubahan demi kebaikan rakyat serta masyarakat setempat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 di sebuah hotel di Bintulu, malam tadi.

Beliau menjelaskan bahawa calon-calon yang telah dipilih oleh PAS itu telah melalui lima tapisan.

Justeru, beliau menyeru rakyat Sarawak supaya memberikan sokongan kepada mereka yang bertanding dalam pilihan raya tidak lama lagi.

"Daripada 11 calon yang ditampilkan oleh PAS kebanyakan dari golongan muda dan berkelulusan universiti tempatan serta luar negara," ujarnya yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRN Sarawak pada majlis yang disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu.

Memetik laporan laman rasmi PAS bagi PRN Sarawak kali ini, beliau juga berkata apabila mempunyai pemimpin yang baik maka negara yang ditadbir juga menjadi baik, begitu juga sebaliknya.

Pada PRN ke-11 ini, PAS meletakkan 11 calon yang bertanding di Dun Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Share on Myspace