PAS tidak putus asa perjuang keadilan walau diganggu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Walaupun sentiasa menerima gangguan ketika menang dalam pilihan raya di Kedah, Perak dan Terengganu, namun PAS tidak pernah berputus asa memperjuangkan keadilan.

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 di sebuah hotel di Bintulu, malam tadi.

Beliau berata, kemenangan yang PAS inginkan bukan sekadar di dunia bahkan di akhirat.

Jelasnya, Islam mengiktiraf pendekatan demokrasi kerana ia paling hampir dengan ilmu politik Islam sekali gus membuktikan politik Islam mempunyai pendekatan terbaik.

"Keadilan dalam Islam meraikan semua pihak tanpa wujud kepentingan pihak tertentu," ujar beliau memetik laporan laman rasmi PAS bagi PRN Sarawak kali ini.

Menurutnya lagi, Islam tidak mementingkan kaum bahkan merangkumi cara hidup, pengurusan dan pentadbiran negeri dalam memastikan kebajikan rakyat dapat dipelihara dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengumumkan 11 calon PAS yang bertanding pada PRN kali ini iaitu Dun Pantai Damai, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju, Lambir dan Pujut.

Share on Myspace