Hujan lebat punca bah besar Kelantan, bukan pembalakan

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Persidangan Kajian Bencana Banjir 2014 yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini merumuskan faktor hujan lebat luar biasa punca utama bah besar di Kelantan akhir 2014.

Persidangan yang berlangsung tiga hari itu membentangkan hasil kajian ahli akademik dari seluruh universiti utama tempatan.

Ia dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi dan Centre For Environmental Sustainability & Water Security (IPASA) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kerajaan memperuntukkan geran kajian sebanyak RM20 juta pasca Bah Kuning yang membabitkan hampir 1,000 penyelidik.

Penyelidik terbabit menghasilkan 231 kajian, 149 pembentangan lisan, 77 poster pameran dan lima produk.

Pengerusi Kelab Cakna Kuala Krai Nazman Che Iberahim (Gambar kiri) berkata, rakyat Kelantan melahirkan rasa lega dan teruja dengan fakta sebenar yang dibentang pada persidangan tersebut.

“Saya bersama seorang lagi wakil Kelantan menghadiri persidangan tersebut,” katanya di sini.

Sebelum ini ada pihak mendakwa faktor pembalakan dan pembukaan tanah di kawasan hulu punca berlaku bah besar di Kelantan pada akhir Disember 2014.

Nazman berkata pasukan penyelidik menyebut banjir besar 2014 disebabkan taburan hujan yang amat tinggi pada waktu tersebut.

Katanya, hujan lebat di Gunung Gagau menjadi penyumbang utama berlaku bah besar 2014. – HARAKAHDAILY 7/4/2016

Share on Myspace