1MDB: Siapa lulus hutang RM42 bilion?

HARAKAHDAILY | .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa pihak berwajib menyiasat isu yang menjadi punca awal kemelut 1MDB iaitu bagaimana 1MDB diwujudkan sebagai syarikat kerajaan yang berasaskan hutang RM42 bilion.

Berdasarkan laporan PAC, 1MDB perlu mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik.

Adakah ini bermakna sebuah syarikat yang sedemikian besar boleh diluluskan oleh Kabinet tanpa memastikan urus tadbir yang baik diamalkan dengan profesional dan rapi?

Laporan itu sendiri telah menyatakan lembaga pengarah gagal melaksanakan tanggungjawab dan menjaga kepentingan syarikat dan pemegang saham serta tidak mengambil tindakan sewajarnya atau proaktif dalam meneliti aktiviti pihak pengurusan dan aliran tunai hadapan syarikat.

Jelas 1MDB telah mengguna hutang berlebihan dalam struktur modalnya. Dengan tanggungan hutang yang sebegitu tinggi, tidak mungkin ia tidak dapat dinilai dengan objektif ketika syarikat tersebut dicadang untuk ditubuhkan.

Persoalannya apakah Kementerian Kewangan telah meluluskan keperluan hutang melebihi aliran tunai itu yang bakal membawa risiko kepada kerajaan sendiri.

Siapa yang telah meluluskan hutang sebesar itu untuk 1MDB?

1MDB ternyata tidak dikawal selia dengan rapi sehingga terjerat dengan hutang dan cara melunaskan hutang yang dilulus oleh kerajaan pula ialah dengan cara menjual aset hartanah yang asalnya adalah milik kerajaan sendiri.

Kami kesal isu kemelut 1MDB telah berlarutan sehingga mendedahkan bukan sahaja kegagalan dalam urus kelola korporat (corporate governence) malah urus kelola publik (public governence).

PAC menyarankan Lembaga Penasihat perlu dimansuhkan, bersama Artikel 117 dalam memorandum syarikat tersebut serta semua rujukan kepada Perdana Menteri perlu ditukar kepada Menteri Kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain kepunyaan MKD.

Persoalan yang timbul ialah bukankah PM juga adalah Menteri Kewangan 1. Adalah tidak bermakna pertukaran ini dibuat jika PM sebagai penasihat dan sekali gus sebagai Menteri Kewangan.

Isu utama 1MDB ialah bagaimana pengurusan kewangannya diuruskan di bawah nasihat PM tetapi syarikat itu juga mendapat kelulusan dari PM yang berkuasa untuk menentukan pembelian dan penjualan aset sehingga menjadi beban hutang yang semakin parah.

Sebab itu kami tidak melihat penyerahan anak-anak syarikat dan aset milik kumpulan 1MDB (TRX, Bandar Malaysia, tanah Air Itam, tanah Pulau Indah) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) akan menyelesaikan masalah kemelut yang sedang ditanggung oleh kerajaan.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim
8 April 2016 - HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace