Clement Bayang dan aksi nyanyian pukau pengundi

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

BINTULU: Clement Bayang merupakan artis Iban tempatan. Anak jati Sarawak ini pernah bertanding calon bebas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemena pada pilihan raya lalu.

Berjiwa seni, penganut Kristian ini seorang aktivis masyarakat. Mudah didekati dan mudah mendekati.

Mewakili PAS untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 kali ini, calon Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS itu ternyata ada tarikan sendiri.

Kehadirannya bersama Presiden Geng Ustaz (GU) pada 7 April di beberapa kawasan di bawah Dun Kakus berjaya menarik perhatian ramai.

Suara merdunya mendendang lagu-lagu rakyat tidak asing buat penduduk di Tatau. Wajahnya ceria, ketika sesi ziarah bersama AJK PAS Ustaz Norazli, Ir Muhtar Suhaili, Razman Zakaria dan jentera PAS Perak yang berkubu membantunya di sini sambutan yang diberi pengundi cukup menggalakkan.

Apatah lagi beliau seorang berketurunan Iban dan pertama kali PAS menampilkan calon bukan Islam di Sarawak sejak menyertai Pilihan Raya Negeri bermula tahun 2001 lagi.

"Insya-Allah kita ada peluang menang di sini. Clement ni sangat diterima di sini. Kita buat program pagi tadi, dia ni pandai menyanyi. Sebaik sahaja beliau menyanyi, ramai berkumpul mendekati.

"Insya-Allah kita akan bawa kawan kawan artis kita antaranya Zuar XPDC, Ijam Medicine dalam kempen nanti, nampak ada tarikan," kata beliau.

Ustaz Norazli berkata, pihaknya yakin dengan anak tempatan menjadi calon PAS di Kakus, gelombang sokongan bakal meningkat.

Katanya tidak mustahil PAS mampu memenangi Dun Kakus dalam PRN kali ini.

Kehadiran Clement Bayang di Kakus juga katanya membuka mata masyarakat selain menjawab terus isu kononnya PAS tidak terbuka.

Isu isu agama yang dihadapkan ke atas PAS kata beliau terjawab dengan sendirinya apatah lagi Clement Bayang beragama Kristian. – HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace