Sejarah: PAS kaji semula kedudukan dalam BN

HARAKAHDAILY | .

PERLAKSANAAN KERJASAMA POLITIK DALAM BN DIBINCANG (8 APRIL 1975)

PADA hari ini dalam tahun 1975, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan kedudukan perlaksanaan kerjasama politik dalam BN di semua peringkat ekoran timbulnya ketidakpuasan hati ahli-ahli PAS mengenainya sejak BN ditubuhkan pada 1 Jun 1975.

Berdasarkan laporan-laporan yang diterima oleh Pejabat Agung PAS, terdapat rungutan-rungutan berkait dengan kesan kerjasama ini terhadap organisasi PAS dan juga peranan PAS dalam BN.

Antara perkara utama yang dibangkitkan tentang kurangnya kerjasama yang diberikan oleh Umno terutama untuk menerapkan Islam dalam pemerintahan, selain tindakan Umno di peringkat bawahan yang kurang menghormati kedudukan PAS sebagai rakan pakatan mereka.

Secara khusus, isu yang ditimbulkan selepas Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974 ialah berkaitan pengagihan kerusi yang tidak seimbang antara kedua-dua parti. PAS hanya diperuntukkan 14 kerusi Parlimen dan 51 kerusi DUN di seluruh negara berbanding Umno yang mendapat 61 kerusi Parlimen dan 170 kerusi DUN.

Perkara ini dipersoalkan oleh ahli PAS kerana peranan PAS dalam menyatukan kekuatan orang Melayu dan menguatkan semula kerajaan pasca 13 Mei 1969.

Isu lain yang turut dipersoalkan oleh ahli-ahli PAS ialah masalah pengagihan jawatan selepas Pilihan Raya Umum 1974. Dalam kabinet Persekutuan, PAS hanya diperuntukkan satu jawatan menteri, dua timbalan menteri dan satu Setiausaha Parlimen sahaja.

Di peringkat Negeri, dalam perlantikan Exco Kerajaan Negeri di Kedah dan Terengganu, PAS hanya diberikan masing-masing dua kerusi, sedangkan Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS memberikan tiga kerusi exco kepada Umno. Di negeri-negeri lain, PAS tidak diberikan jawatan exco, selain masalah perlantikan ahli-ahli PAS dalam badan-badan berkanun.

Walaupun Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menjelaskan bahawa bukan tujuan PAS menyertai BN untuk mendapatkan kerusi, sebaliknya PAS mempunyai matlamat jangka panjang yang lebih besar untuk memartabatkan Islam, namun ia tidak meredakan ketidakpuasan hati ahli-ahli PAS dalam konteks perlaksanaan kerjasama yang seimbang ini.

Ekoran itu, pada 8 April 1975, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan langkah-langkah untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati ahli-ahli PAS.

Antara langkah yang cuba diambil oleh PAS ialah dengan menggunakan Mesyuarat Setiausaha-setiausaha Agung Parti Komponen BN untuk membuat ketetapan yang mengarahkan supaya kerajaan-kerajaan negeri melantik ahli-ahli PAS menduduki pelbagai jawatan dalam kerajaan dan badan-badan berkanun negeri.

PAS juga membuat ketetapan supaya PAS memperkukuhkan organisasinya kerana menyedari hakikat persaingan politik antara PAS dan Umno tidak berakhir dengan kerjasama dalam BN, sebaliknya ia menjadi percaturan politik dalam bentuk yang baru.

Ahli-ahli PAS yang menyedari kerjasama yang tidak seimbang ini, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-21 pada 29-30 Julai 1975 telah mencadangkan supaya keluar dari BN jika mereka berterusan tidak menghormati PAS.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 April 2016 – HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace