Isu infrastruktur, kemiskinan tumpuan di Jepak

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

BINTULU: Dun Jepak  terletak dalam Parlimen Bintulu. Dun di pinggir bandar ini memiliki komposisi pengundi yang didominasi Melayu 55 peratus dan selebihnya Iban dan 5 peratus Cina.

Biarpun dalam kawasan hampir bandar, namun isu-isu kemudahan awam, pengangkutan, infrastruktur dan kemiskinan membelanggu masyarakat di sini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Jabbar bersama team pemantau Pahang yang menjaga Dun Jepak kali ini melihat realiti ini yang amat menyedihkan.

Kata beliau, walaupun Bintulu satu kawasan yang maju, namun terdapat jurang yang terlalu ketara dalam aspek pembangunan.

Jurang kaya miskin melebar, masalah pengangkutan begitu serius memandangkan tiada jambatan di Sungai Kemena dekat Kampung Jepak untuk memudahkan pengangkutan penduduk setempat.

Menurut Ustaz Rosli, Bintulu kawasan yang kaya dengan hasil minyak, namun kehidupan masyarakat di sini amat menyedihkan.

Masih ada lagi yang merempat, tiada rumah mahupun tanah apatah lagi katanya isu pemilikan tanah di Sarawak ini tidak pernah selesai termasuk di Bintulu.

Tambahnya, kerajaan negeri lebih mementingkan tanah untuk diberikan kepada kroni dalam kalangan peniaga besar berbanding menyediakan tanah untuk rakyat.

Rampasan tanah rakyat di sini suatu yang sudah kerap berlaku katanya, namun rakyat tiada hak melawan kerana peruntukan Undang Undang memihak kerajaan.

Beliau juga melihat kerajaan Sarawak tidak langsung mementingkan kebajikan rakyat apabila kemudahan asas seperti air dan elektrik di beberapa kawasan kampung dan penempatan rumah panjang tidak disediakan.

Mengulas mengenai peluang calon PAS di Dun Jepak, beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, kehadiran anak tempatan seperti Kiprawi Aman yang juga bekas pegawai kanan kerajaan di sini memberi satu kelebihan.

Katanya, Kiprawi sudah biasa berurusan dengan masyarakat di sini khasnya di kampung kelahiran isterinya di Kampung Jepak selain Kuala Tatau yang sering menjadi destinasinya bertemu masyarakat.

Tambahnya keramahan Kiprawi membuatkan pengundi di sini mudah mendekatinya. – HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace