1MDB: Najib perlu mohon maaf, undur sebagai Menteri Kewangan

HARAKAHDAILY | .

Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB menyatakan dengan jelas bahawa 1MDB mendapatkan kebenaran bertulis daripada Perdana Menteri dalam:

a. Sebarang perubahan terhadap M&A syarikat, sama ada secara keseluruhan ataupun sebahagiannya;

b. Sebarang perlantikan dan penamatan mana-mana pengarah (termasuk Pengarah Urusan dan Pengarah Alternatif) serta Pengurusan Tertinggi Syarikat; dan

c. Sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan), penstrukturan semula atau perkara berkaitan jaminan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk kepentingan syarikat, kepentingan negara, keselamatan negara atau sebarang polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia. Atas tujuan ini, penentuan maksud kepentingan negara, keselamatan negara dan polisi Kerajaan Persekutuan Malaysia hendaklah dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Terdapat dua pelaburan 1MDB yang sehingga masih menjadi misteri untuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) iaitu:

1. Pelaburan berjumlah USD2.318 bilion melalui Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Bridge Global SPC) yang berusia sebulan dan tiada lesen pengurus dana dan tiada pengalaman untuk menguruskan dana yang besar.

2. Penyaluran dana sebanyak US993 juta kepada Aabar Ltd yang 1MDB masih belum mengemukan sebarang pengesahan bahawa ianya merupakan anak syarikat kepada IPIC atau Aabar Investment PJS (Abu Dhabi).

PAC gagal mengesan pengaliran kedua-dua pelaburan ini kerana keengganan pihak 1MDB memberikan penyata akaun bank luar negara.

Meskipun, laporan PAC tidak menuding jari kepada PM dalam isu 1MDB, namun artikel 117 M&A 1MDB jelas menunjukkan sebarang keputusan pelaburan 1MDB memerlukan kebenaran bertulis PM termasuk dua pelaburan yang bermasalah di atas.

Sejajar itu, PAS menuntut PM untuk:

i. Memohon maaf secara terbuka kepada rakyat atas isu 1MDB, yang dibiarkan sehingga berjaya ‘mengumpul’ hutang sebanyak RM50 bilion

ii. Menyokong penuh tindakan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam  ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang sesuai’ terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti berkenaan wang sejumlah USD$1.83 bilion yang berada di luar negara agar integriti sistem kewangan terjaga. Besar kemungkinan  isu yang dibangkitkan Gabenor BNM mempunyai kaitan besar terhadap dua pelaburan bermasalah 1MDB di atas.

iii. Mengambil sikap kepimpinan melalui tauladan dengan mengambil tanggungjawab penuh kelemahan pentadbiran 1MDB dengan mengundurkan diri sebagai Menteri Kewangan Malaysia pada kadar segera.

iv. Memberikan sokongan penuh selaku PM kepada PAC dan BNM untuk mengesan aliran tunai pelaburan 1MDB ke Bridge Global SPC dan Aabar Ltd dengan mengarahkan 1MDB mengemukakan penyata bank luar negara untuk disemak dan diteliti.

v. Melepaskan laporan audit 1MDB kepada awam untuk menjaga integriti laporan PAC.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
8 April 2016 - HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace