Kenapa perlu hadir Himpunan Aman Bantah DLP?

ABDUL MALIK AB RAZAK | .

BUAH fikiran Tuan Guru Presiden PAS

Menurut kajian UNESCO, bahawa bahasa ibunda adalah bahasa paling berjaya dalam pelajaran dan pendidikan sesuatu bangsa dan umat.

Semua bangsa yang menganut Islam selepas bangsa arab berjaya memimpin dunia Islam dan tamadunnya dengan bergantung kepada bahasa ibunda masing-masing yang berteraskan Islam sehingga menggunakan bahasa mereka bertulisankan huruf bahasa Al-Quran yang di tambah dengan huruf bunyi bahasanya, seperti bahasa Parsi, Turki dan Urdu. Termasuk bahasa melayu bertulisan huruf Al-Quran.

Kebangkitan bangsa seperti Jerman dan Jepun yang kalah teruk dalam Perang Dunia, China, Korea, Perancis dan lain-lain negara yang mencapai tahap negara maju, adalah melalui pendidikan awal dan tinggi dalam negaranya dengan bahasanya sendiri. Bahasa asing hanya untuk melanjutkan pelajaran di berbagai negara lain.

Negara yang mengekalkan bahasa penjajahnya, bermula daripada pemimpin sehinggalah peminta sedekah di jalanan bercakap bahasa Inggeris, negaranya terus mundur terkebelakang menjadi pengekor, dan bangsanya kehilangan jati diri.

Kegagalan Malaysia menjadi negara maju setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan adalah kerana gagal membangun manusianya melalui sistem pendidikan dan pelajaran dengan bahasa rakyatnya sehingga para pemimpin dan rakyatnya tidak ada jati diri, malu beramal Islam yang sempurna dan malu menggunakan bahasa kebangsaannya yang rasmi dalam tanah airnya sendiri.

Tidak dinafikan perlunya mempelajari bahasa asing daripada bangsa-bangsa yang lebih maju sebanyak-banyaknya, tetapi bukannya mengerah seluruh rakyat, kerana hanya segelintir sahaja yang berjaya menguasai bahasa ilmunya, yang paling besarnya sekadar mendapat bahasa untuk diri.

Bajet besar untuk DLP laksana mencurah garam ke dalam laut tercemar itu , di mana mangsanya ialah beberapa generasi yang tenggelam ke dalamnya kerana melahirkan bangsanya yang tidak berjiwa, cerdiknya yang tidak boleh ditumpang dan bodohnya hilang perhitungan.

Agenda DLP adalah angkara penasihat yang berilmu salah dan menyesatkan rakyat dan merosakkan negara. Asal tujuan mempelajari bahasa asing supaya cerdik meningkatkan ilmu dan jangan ditipu, tetapi salah langkahnya menjadikannya ramai yang tertipu dan ditipu.

Generasi awal pemimpin negara berusaha mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan sehingga menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka, mengadakan Universiti Kebangsaan. Tiba-tiba generasi pelapisnya berpusing kebelakang sehingga mencelupkan bahasanya dengan bahasa Inggeris yang tebal sehinggalah menghilangkan peranan bahasa kebangsaan dan dihakis penggunaan bahasa sendiri dalam keluarga dan masyarakat.

Baca selanjutnya: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/40496-bahasa-jiwa-bangsa-dan-dlp

Tambahan info:

DLP adalah penjelmaan semula PPSMI dan dilaksanakan semula secara tergesa-gesa tanpa mendapat pandangan pihak-pihak berkepentingan dalam pendidikan dan lain-lain.

Dapatan Hasil Kajian Ilmiah Oleh Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) terhadap 160 sekolah dan 15,089 pelajar serta 553 guru akan keberkesanan PPSMI terbukti amat negatif.

Analisis pencapaian murid kohort 2 (2003-2009) SK dalam ujian/ peperiksaan peringkat sekolah mata pelajaran matematik mengikut gred purata mata pelajaran (GPMP) bagi 56 buah sekolah rendah yang meliputi 1942 orang murid oleh Jemaah Nazir, KPM ternyata menunjukkan kegagalan PPSMI.

Kajian kesan dasar PPSMI di sekolah rendah dan menengah fasa 2 yang diketuai oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak bin Haron (UPSI) yang ternyata negatif.

Pelaksanaan dasar dwibahasa ini adalah tidak adil dan mewujudkan jurang prestasi sains dan matematik UPSR antara SK, SJKC dan SJKT.

Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil pendekatan dan prioriti yang salah mengutamakan bahasa inggeris dan mengabaikan kecemerlangan sains, matematik dan teknologi yang lebih kritikan.

Pelaksanaan DLP akan menggagalkan dan bertentangan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

Pelaksanaan DLP bercanggah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152(1), 152(6) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/ 1967, Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) serta Perlembagaan Umno, Fasal 3.5 dan Rukun Negara. – HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace