Ayuh turun bantah DLP, selamatkan bahasa kita

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan masalah pendidikan negara khususnya warga pendidik dan ibu bapa untuk turut serta dalam Perhimpunan Aman Membantah DLP yang akan diadakan esok, 9 April bermula jam 2.00 petang di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

"Kita tidak mahu sejarah kegagalan PPSMI berulang semula selepas DLP dilaksanakan sepenuhnya dan diperluaskan ke semua sekolah," ujar Ketua Penerangan DUPP, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu kenyataan.

Katanya, membebankan para pelajar untuk memahami subjek-subjek lain dengan bahasa yang mereka sendiri tidak kuasai semata-mata kononnya untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar adalah suatu kesilapan yang sangat besar yang akan meragut kecemerlangan generasi masa hadapan negara kita.

Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut menyeru kepada seluruh warga kota yang prihatin dan cintakan Bahasa Melayu agar sama-sama turun secara aman ke perhimpunan itu bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan DLP.

"Sesungguhnya masa depan bahasa ibunda kita adalah tangungjawab seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara yang tercinta ini," kata pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad.

Tambahnya, tanpa pengorbanan anda untuk turun secara aman pada hari esok sudah tentu akan mendedahkan risiko besar kepada nasib masa depan Bahasa Melayu terhadap generasi kita akan datang.

"Ayuh hadirkan diri anda bersama-sama insan yang disayangi menyelamatkan bahasa ibunda kita," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace