Apa fungsi Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB?

HARAKAHDAILY | .

Laporan mengenai 1MDB memutuskan yang salah ialah Ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Persoalannya bagaimana kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB?

Apakah Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB yang menyatakan dengan jelas bahawa 1MDB mendapatkan kebenaran bertulis daripada PM dalam sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan) hanyalah sia-sia?

Menurut artikel ini, Najib adalah orang yang memberi kelulusan terakhir berkait dengan pelaburan yang dibuat 1MDB.

Jikalau ada arahan Pengerusi Lembaga Penasihat, adakah ahli lembaga pengarah 1MDB mampu menolak arahan tersebut meskipun secara lisan?

Adakah beliau hanya lembaga hitam, yang tidak mempunyai peranan untuk mengetahui perjalanan 1MDB?

Selaku PM dan Menteri Kewangan, apakah beliau telah melakukan tanggungjawabnya dalam memantau dan menegur ahli Lembaga Pengarah 1MDB apabila mendapati ada perkara tidak betul?

Benarkah ahli Lembaga Pengarah 1MDB berani membuat keputusan sendiri tanpa sepatah pengetahuan Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat?

Ini bukan pelaburan yang melibatkan pinjaman RM50,000, tetapi ia melibatkan pinjaman RM50 bilion. Wang yang boleh digunakan untuk biasiswa percuma pelajar IPTA seramai 1,000,000 orang jika kos hanya RM50,000 seorang.

Walaupun laporan menyebut hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion, sedangkan aset 1MDB sebanyak RM53 bilion, akan tetapi sebahagian asetnya adalah aset kerajaan seperti tanah Bandar Malaysia, TRX yang diperolehi jauh lebih murah daripada sepatutnya.

Ini aset bukan hasil keuntungan berniaga, tapi sedekah kerajaan. Ia adalah tanah anugerah yang dijual dengan harga sebagai entiti kerajaan, di bawah harga pasaran.

Saya pernah menyebut di dalam Parlimen supaya pegawai kerajaan kena beringat jangan ambil mudah terhadap sesuatu arahan. Biarlah arahan bertulis supaya mereka tidak menerima akibat. Jangan ikut membuta-tuli nanti akibat buruk akan ditanggung oleh mereka.

Lihatlah apa yang pernah berlaku kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Mohamad kerana penyelewengan wang kementerian?

Apapun, tahniah kepada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO 1MDB bersedia memberi kerjasama untuk penyiasatan seterusnya. Kepada para pegawai kerajaan yang lain, ambillah peristiwa yang menimpa Datuk Shahrol sebagai pengajaran.

IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
8 April 2016 / 30 Jamadil Akhir 2016 - HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace