PAS angkat martabat wanita di Sarawak - Nuridah

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

BINTULU: Komitmen PAS meletakkan calon wanita di Dewan Undangan Negeri (Dun) Beting Maro pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 kali ini membuktikan PAS mengiktiraf peranan wanita.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, pencalonan Hamidah Mokhtar, 26 seorang Pengarah Butik Muslimah memberi gambaran jelas kepada rakyat di sini bahawa PAS mengangkat suara wanita.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PAS bagi PRN11 di Hotel Kemena, dekat sini 6 April yakin calon PAS di Beting Maro itu bakal membawa dimensi baharu dalam politik negeri Sarawak.

Sepanjang jentera Muslimat PAS Pusat turun di Beting Maro sejak beberapa bulan lalu, Ustazah Nuridah berkata, pihaknya melihat beberapa isu antarany kesusahan yang dihadapi oleh golongan wanita ini yang kebanyakannya terdiri dari suri rumahtangga, ibu tunggal, warga tua serta golongan orang kelainan upaya.

Kata beliau, mereka ini harus dibantu dan dibimbing cara-cara untuk mendapatkan bantuan melalui saluran-saluran kebajikan yang sedia ada.

Selain itu katanya, tahap kesedaran pendidikan dan keciciran dari alam persekolahan sama ada melibatkan wanita berkenaan ataupun anak-anak mereka juga berada ditahap yang membimbangkan.

Tambahnya, wanita ini juga menghadapi masalah ekonomi dan pendapatan yang tidak menentu.

"Muslimat PAS turun padang kita dapati sebahagian besar daripada mereka adalah tidak dibela. Sesiapa sahaja yang berada dalam kerajaan tidak sepatutnya mengenepikan hak wanita untuk mendapat ruang pembelaan, diangkat darjat dan martabat kewanitaannya dengan memberikan kaum wanita hak untuk menerima pendidikan yang tidak formal," katanya lagi.

Menjawab peluang PAS di Beting Maro, beliau berkata sesuai dengan apa yang disebutkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS datang ke Bumi Kenyalang bukan sahaja untuk menang, sebaliknya untuk terus menjalankan dakwah membawa mesej Islam.

Menurut beliau, dalam PRN10 yang lalu PAS hampir dapat menguasai kerusi Dun Beting Maro dengan peningkatan undi yang sangat tinggi.

Beliau yakin kali ini PAS akan membawa satu sejarah di Dun Beting Maro dengan calon wanita ini bakal menjadi anak sulong PAS di Dun Sarawak.

Kata beliau, PAS adalah sebuah jamaah Islam yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh sama ada dalam bidang siyasah, dakwah dan tarbiah.

Katanya lagi, Muslimat PAS Pusat sangat menyedari bahawa ruang dakwah di Sarawak ini sangat luas, dan PAS telah lama menerokainya. – HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace