Yakin menang, suasana cukup berbeza - Mustafa

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

BINTULU: PAS yakin akan melahirkan kejayaan pertamanya di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 yang akan diadakan dalam masa terdekat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri 11 April ini.

Suasana yang cukup 'menyebelahi' PAS dapat dilihat pada gerak kerja awal di sini apatah lagi dengan sokongan bukan Islam yang semakin meningkat.

"Suasana cukup berbeza pada persiapan kita (PAS) kali ini. Saya lihat lebih tersusun, semangat dan anak tempatan memberi komitmen yang sangat tinggi," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali dalam ulasannya semasa di temui Harakah selepas Pengumuman Calon PAS bagi PRN di Hotel Kemena, dekat sini 6 April lalu.

Kata Mustafa, pembabitkan pimpinan PAS Pusat, pimpinan setempat dan aktivis serta sokongan masyarakat di sini cukup berbeza dengan pilihan raya negeri yang lalu.

Menurut beliau, calon-calon yang ditampilkan PAS juga adalah anak tempatan yang masing-masing memiliki kekuatan di kawasan masing-masing.

"Kita ada calon muda, yang bersara, bukan Islam (DHPP), profesional dan juga calon Muslimat yang memberi kelainan pada kali ini. Saya yakin dengan usaha yang gigih, kemenangan boleh dicapai," katanya lagi.

Beliau juga menyeru agar seluruh jentera parti yang datang dan berkampung sejak beberapa bulan lalu di kawasan yang ditandingi PAS akan terus mengekal dan meningkatkan momentum gerakkerja.

"Insya-Allah gerakkerja pada tahap memuaskan, kekalkan dan 'moving foward' inshaAllah kita akan menang," ujarnya yang cukup berpengalaman dengan pilihan raya. – HARAKAHDAILY 8/4/2016

Share on Myspace