Pimpinan PAS bertemu Umno untuk kepentingan ummah

HARAKAHDAILY | .

PIMPINAN PAS BERTEMU PEMIMPIN UMNO UNTUK KEPENTINGAN UMMAH (9 APRIL 1986)

PADA hari ini dalam tahun 1986, beberapa pimpinan kanan PAS telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bagi mencari persefahaman demi kepentingan umat Islam.

Pemimpin PAS yang terlibat ialah Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Ketua Lajnah Perhubungan dan Hal Ehwal Luar, Syed Ibrahim Abdul Rahman yang bertemu secara sulit dengan pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno dan Anwar Ibrahim, Ketua Pemuda Umno di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana.

Pertemuan sulit ini adalah bertolak dari isu Memali yang tercetus pada 19 November 1985 yang merebak menjadi isu Amanat Haji Hadi, yang kemudiannya membawa kepada fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 19 Februari 1986.

Dr Mahathir dalam satu kenyataannya mahu mengambil tindakan keras terhadap Masjid Rusila, tetapi pada 31 Januari 1986, Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Umno untuk berunding dengan PAS demi kepentingan Islam.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12 Februari 1986 telah bersetuju untuk bermuzakarah dengan Umno, dan ia disambut baik oleh Dr Mahathir pada 16 Februari 1986.

Pada 16 Mac 1986, PAS bersetuju bertemu Umno sebagai mana pertemuan dengan pihak-pihak lain dengan syarat tidak bermaksud membawa PAS menyertai BN.

Bagi pihak Umno, muzakarah ini sangat penting kerana mereka berhadapan dengan isu keganasan kerajaan di Memali yang membawa kepada perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam pada 16 Mac 1986.

Pergolakan ini bertukar menjadi krisis kepemimpinan Umno yang membawa kepada perpecahan parti perkauman sekular itu pada 1987.

Dalam masa yang sama, PAS sedang mendekati pengundi Cina melalui CCC. Umno cuba menjadikan muzakarah ini sebagai serampang dua mata iaitu untuk menutup kelemahan Umno dan memecahkan hubungan PAS dengan pengundi Cina menjelang Pilihan Raya Umum 1986.

Pertemuan tanpa agenda yang disifatkan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pertemuan peribadi ini telah dikhianati oleh Anwar Ibrahim.

Pertemuan sulit ini telah didedahkan oleh Anwar Ibrahim kepada Pemuda Umno dalam tempoh 24 jam selepas pertemuan, diikuti oleh pendedahan beliau kepada media di Pulau Pinang pada 13 April 1986 yang memaksa pemimpin PAS dan Dr Mahathir mengakuinya.

Akibat pengkhianatan Anwar Ibrahim terhadap pertemuan sulit yang dikatakan untuk kepentingan ummah ini, PAS terpaksa berhadapan dengan kemarahan pengundi Cina yang menuduh PAS menipu mereka sehingga menyebabkan PAS hanya memenangi satu kerusi sahaja di Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 April 2016 - HARAKAHDAILY 9/4/2016

Share on Myspace