Balik mengundi kerana Islam - Ahmad Kib

HARAKAHDAILY | .

Ahmad bin Kib, 75 tahun hanya seorang petani biasa. Mengerjakan kebun di kawasan rizab jalan dan rizab sungai di Kampung Jaie, Sadong Jaya.

Bercucuk tanam padi huma dan jagung sekadar sebagai usaha sara diri.

Dia datang mengunjungi kami yang sedang bergotong-royong membaiki jambatan kayu yang menyemberangi Sungai Jaie sebagai satu dari program kemasyarakatan kami di Sadong Jaya.

Kebetulan tanaman padi huma dan jagung milik beliau terletak di seberang sana sungai. Semuanya ditanam di atas tanah rizab sungai yang luasnya tak seberapa.

Saya baru mendapat maklumat rupanya padi huma memerlukan masa 9 bulan sebelum boleh diketam. Ketamnya menggunakan cara tradisional.

Orang di situ berbisik kepada saya. "Itu orang lama kita dalam PAS."

Mendengar bahawa beliau orang lama dalam PAS, terus saya mendekatinya dan berjalan bersamanya menuju ke kebun. Tentu sekali ini insan istimewa.

"Saya dah 18 tahun dalam PAS," kata Pak Cik Ahmad bin Kib.

"Ooo... lama tu..."

Beliau memiliki 4 orang anak yang kesemuanya telah berjaya dan berumahtangga. 2 daripada anaknya bertugas sebagai guru siswazah. Seorang mengajar di Melaka sementara seorang lagi mengajar di Kuching. Seorang menjawat jawatan Pegawai Kebajikan Masyarakat sementara yang bongsu bertugas sebagai mekanik juga di Kuching.

"Alhamdulillah... semua anak saya Allah bagi berjaya," ucap Ahmad penuh kesyukuran.

"Semua mereka insya Allah akan balik mengundi nanti."

"Balik undi apa pak cik?" tanya saya sambil bergurau.

"Tentu balik untuk undi PAS!" jawab Pak Cik Ahmad.

"Jauh juga tu nak balik dari Melaka..." saya sekadar nak mendengar komen lanjut Pak Cik Ahmad.

"Memang jauh tapi kalau bukan kita yang balik mengundi, siapa lagi? Mengundi ini kerana Islam!" Saya terjemahkan jawapan Pak Cik Ahmad dalam loghat Sarawaknya yang agak pekat dan penuh semangat.

Allahu Akbar!! Orang lama bersemangat waja seperti Ahmad bin Kib adalah rahsia kekuatan PAS Sarawak selama ini. Rahsia kenapa PAS boleh meneruskan kelangsungan di Bumi Kenyalang ini.

Isterinya Ayang binti Bujang, 65 tahun yang sedang mengetam padi huma turut saya santuni. Secantik namanya begitulah indahnya budi bahasa wanita Sarawak bernama Ayang binti Bujang.

Semoga Pak Cik Ahmad bin Kib dan Mak Cik Ayang binti Bujang terus istiqamah dalam perjuangan ini sampai akhir hayat. Tahniah kepada 4 orang anak-anak mereka yang memiliki ayah dan ibu yang hebat.

Dr Azman Ibrahim
Catatan dari Bumi Kenyalang
9 April 2016

Tulisan di atas diambil daripada laman rasmi PAS PRN Sarawak http://prnsarawak.pas.org.my/

Share on Myspace