DLP: Cuaca panas bukan penghalang berhimpun

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

KUALA LUMPUR: Cuaca panas tidak menghalang para peserta hadir ke himpunan bantah program dwi-bahasa atau lebih dikenali sebagai DLP malah semakin ramai hadirin yang hadir menyatakan solidariti mereka.

Meskipun hanya diberi tempoh berhimpun selama sejam oleh peguatkuasa DBKL, namun masih ada lagi yang datang bagi mewakili suara rakyat membantah program tersebut.

"Masa semakin suntuk, DBKL minta majlis bersurai secepat mungkin. Saya minta maaf masih ramai tokoh-tokoh yang hadir tidak dapat berucap," ujar pengerusi majlis, Kamaruzaman.

Antara yang sempat berucap termasuklah Datuk Zainal Abidin Borhan (wakil Gapena), Muhammad Afiq Awang Bakar (Presiden Gamis), Dr Shaharir Mohamad Zain, Ustaz Idris Ahmad, Pak Samad (Sasterawan Negara.

Selain itu pimpinan PAS yang turut kelihatan termasuklah Dr Mahfodz Mohamed (Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), N Balasubramaniam (Pengerusi DHPP Pusat), dan Ustaz Norazli Musa (Presiden Geng Ustaz).

Atas desakan waktu yang terlalu singkat yang diberikan oleh badan penguatkuasa, ucapan penutup pada program tersebut telah diakhiri oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Di akhir ucapan Timbalan Presiden PAS berkata agenda himpunan bantahan ini akan tetap diteruskan sehinggalah hasrat kerajaan untuk melaksanakan DLP menemui kegagalan.

Majlis bersurai dan ditangguhkan secara aman pada jam 3:55 petang.

Ketika peserta bersurai, dendangan sajak dibacakan oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi. – HARAKAHDAILY 9/4/2016

Share on Myspace