DLP: Pendirian Ketua Pengarah DBP tersasar

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

Kami ingin menegaskan kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Adzis Abas, baru-baru ini mengenai pelaksanaan Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) tersasar dari tujuan penubuhan DBP.

Pernyataan beliau bahawa DBP tetap menyokong pelaksanaan DLP walaupun dibantah oleh NGO menunjukkan bahawa beliau tidak mencerminkan kepimpinan DBP yang sepatutnya meneliti dan berunding dengan pakar bahasa dan aktivis bahasa sebelum menerima atau menolak DLP.

Matlamat Dewan Bahasa dan Pustaka yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Amat pelik jika sumber kuasa DBP untuk mempertahankan penggunaan bahasa kebangsaan adalah Perlembagaan Persekutuan dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi kuasa itulah yang nampaknya dicairkan oleh DBP hanya kerana institusi itu mahu selari dengan dasar Kementerian Pendidikan.

Apa guna slogan "Bahasa Melayu Salah Satu Bahasa Utama Dunia" yang dibawa oleh DBP jika pelaksanaan DLP yang mengenepikan bahasa Melayu di negara sendiri tidak ditolak.
 
Kami menegaskan visi DBP yang melakarkan pernyataan "Meningkatkan Penggunaan Bahasa Melayu" tidak tidak ada makna jika DBP menerima suatu program yang sebenarnya mengarah kepada pencairan penggunaan bahasa Melayu.

Jika DBP benar-benar mahu menjadi "Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa" maka DLP adalah suatu program kerajaan yang berlawanan dengan wawasan DBP itu sendiri.

Adalah sangat dikesalkan bahawa Ketua Pengarah DBP yang baru dilantik itu mengenepikan pandangan NGO yang dianggotai oleh ahli pakar dan aktivis bahasa.

Pandangan beliau bahawa DBP adalah di bawah bidang Kementerian Pendidikan dan dengan itu perlu mengikuti keputusan kementerian tersebut menandakan beliau tidak menjiwai fungsi dan bidang kuasa DBP itu sendiri.

DLP pada hakikatnya menyeleweng dari Dasar Bahasa Kebangsaan. Oleh itu tidak ada sebab kenapa DBP harus mempertahankan DLP.

Hujah yang sama nampaknya dijadikan landasan untuk melaksanakan PPSMI sebelum ini. Lantaran itu untuk mengatakan DLP adalah program baru untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris adalah berselindung disebalik niat asal iaitu untuk melaksanakan tujuan PPSMI.

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah diperkenalkan pada tahun 2003. Akhirnya pada 8 Julai 2009 dasar ini dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh bekas Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan. Soalnya kenapa versi baru PPSMI dalam bentuk DLP mahu diperkenal?

Kami kesal, DBP sebagai sebuah institusi tertinggi yang bertanggungjawab untuk mengembang, mengukuh dan mempertahankan bahasa kebangsaan kini bertukar menjadi institusi mengenepikan kewibaan bahasa kebangsaan itu sendiri dalam sistem pendidikan nasional.

Kami turut menegaskan dan menuntut agar DLP dihentikan programnya dan usaha untuk memperbaiki pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris disemak semula. DLP tidak boleh dijadikan projek menghidupkan semula PPSMI. - HARAKAHDAILY 10/4/2016

Penulis ialah Pengerusi Kongres Rakyat dan Presiden Mapim.

Share on Myspace