Ustaz Yusof ajak anak muda bersama dengan PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Calon PAS yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Samariang, Ustaz Yusof Ahmad Sharkawi mengajak anak-anak muda agar menyokong PAS pada Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Menurutnya, PAS mengadakan pelbagai ‘platform’ bagi anak-anak muda menyalurkan minat dan kreativiti masing-masing, antaranya melalui riadah permotoran Alternative Riding Club (ARC).

“Antara usaha yang telah dilakukan oleh PAS untuk menarik anak muda untuk merapatkan diri atau hampir dengan PAS ialah dengan melancarkan ARC.

“Mereka yang memiliki motor bsar atau pun ‘kapcai’ pun turut bersama dengan kita, ini satu respons yang baik dari orang muda,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Katanya, melalui penubuhan kelab itu, mereka boleh berkhidmat dengan masyarakat dalam aktiviti kebajikan, memberikan sumbangan sambil kepada golongan yang memerlukan sambil menaiki motosikal.

Selain itu, katanya, PAS Kawasan Petrajaya turut mengadakan aktiviti seni jalanan yang mempunyai hala tuju, ‘busking’.

“Anak-anak muda yang minat kepada muzik, minat kepada lagu-lagu. kita menyediakan ruang kepada mereka untuk mereka terus ‘bermuzik’ dengan lunas-lunas dan tidak melanggar syariah yang ditetapkan (bagi muzik dan seni),” jelasnya ketika ditemui di Pejabat PAS Petrajaya, di sini  Jumaat lalu.

Justeru itu, beliau berkata, beberapa program ‘turun padang’ akan disusun oleh jentera PRN PAS Samariang bagi bertemu dan ‘bermain’ dengan para pemuda bagi meningkatkan sokongan mereka kepada PAS.

Ustaz Yusof yang juga Penyelaras Urusan Ulamak PAS Kawasan Petrajaya, berumur 30 tahun sudah berumah tangga dan dikurniakan seorang anak.

Beliau adalah penduduk tempatan Samariang, memiliki Diploma Al-Quran Wal Qiraat, Darul Quran Jakim dan Ijazah Sarjana Muda Al-Quran dan Qiraat, Maahad Qiraat Al-Azhar As-Shariff, Mesir.

Beliau merupakan seorang pendakwah yang qari dan sentiasa mendapat jemputan dari masjid sekitar Kuching, bagi menjadi imam solat dan menyampaikan ceramah agama.

Share on Myspace