Zulkipli berazam tingkat taraf hidup rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selain daripada menawarkan khidmat menyempurnakan 11 tawaran PAS yang digagaskan dalam manifesto ’Tawaran Sejahtera PAS Untukmu Sarawak’, calon PAS Dun Muara Tuang, Zulkipli Ramzi akan memberikan fokus kepada dua isu utama.

Bendahari PAS Sarawak itu berkata, beliau akan menumpukan kepada penyelesaian pengangguran anak-anak muda.

“Insya Allah sekiranya diberi mandat dan dipilih di Dun Muara Tuang, saya akan bekerja sepenuhnya untuk warga Muara Tuang, walaupun pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada, namun ia masih tidak seimbang untuk memenuhi kehendak rakyat.

“Masih ramai di kalangan anak-anak muda di Muara Tuang yang masih menganggur dan tidak mempunyai pekerjaan tetap,” ujarnya ketika ditanya apakah usaha yang akan dilakukan sekiranya rakyat Muara Tuang memilih beliau menjadi wakil rakyat pada Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, beliau akan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup warga Muara Tuang dan memastikan pembangunan yang dilakukan pada masa depan adalah seimbang dengan keadaan semasa.

"Taraf hidup (penduduk) masih kurang, di kampung-kampung yang kita pergi tengok, keadaan para penduduk Muara Tuang agak merisaukan (kerana) keadaan pembangunan tidak seimbang dengan keadaan semasa,” jelasnya dipetik laman rasmi PAS bagi PRN Sarawak..

Zulkifli, 38, telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berasal dari Niah, Miri dan kini menetap di Kota Samarahan.

Beliau memegang Diploma Elektronik Industri dan Instrumentasi, Pusat Latihan Teknikal Sarawak (YDTC) serta berpengalaman sebagai seorang peniaga dan juga bekerja di sektor swasta.

Share on Myspace