Di Bumi Kenyalang ini, ada kemanisan dalam perjuangan

HARAKAHDAILY | .

Kalau saudara nak rasa macam mana sukarnya orang-orang tua kita berjuang untuk membina asas kepada Parti Islam di sekitar awal penubuhannya, mungkin saudara boleh datang ke sini.

Erti kesabaran, ketabahan dan pengorbanan dalam perjuangan ada di Bumi Kenyalang ini.

Macam mana?

Sebagaimana sedap tak dapat nak diceritakan akan kesedapannya begitulah juga kesukaran. Ianya tak dapat nak diceritakan dengan tepat kecuali bagi orang yang merasainya.

Sebagaimana suburnya tanah di Sadong Jaya yang dipenuhi pelbagai ladang tanaman, begitulah juga suburnya medan dakwah di sini.

Tanah yang subur perlu disemai dengan benih yang baik lalu dijaga dan dibajai.

Tiada benih yang lebih baik dari benih Islam.

Biasa di sini bila kita kunjungi dalam program ziarah dari rumah ke rumah, kaum wanitanya tak bertudung menutup aurat. Tapi bila kita mintak izin untuk ambil gambar, mereka kata, "kamek tak pakai tudung malu nak bergambar..."

Di sini kita akan jumpa petugas PAS yang bertatoo di lengan. Kita tak tahu bagaimana hari silamnya dulu tapi yang jelas sekarang dia berada bersama kita dalam perjuangan Islam!

Di sini saya jumpa seorang sahabat berbangsa Bugis yang rela dan pasrah walau dirinya dipinggirkan dan dipulau oleh masyarakat sebangsa dan setempat yang masih fanatik PBB semata-mata kerana dia memilih untuk bersama dengan PAS.

Di sini kami dimarahi oleh penjaga dewan badminton yang totok PBB hanya kerana pada suatu malam kami hadir bermain badminton bersama beberapa orang pemuda PAS tempatan. Padahal sewa dewannya dah dibayar. Jelas dia tak suka orang PAS datang main badminton.

Masyarakat Sarawak kaya dengan budi bahasa. Saya pasti akan sentiasa mengingati insan-insan istimewa yang saya kenali di sini.

Pak Usop dan Abang Kadir di Jemukan, Abang Osman dan Ismail di Jaie, Pak Ayub di Bilis, Abang Hamdan serta isterinya Kak Hasnah di Iboi, Sarjan Jaafar di Semera, Haji Ghazali Mentrang di Sepayor, Haji Hassan, tuan rumah tempat kami menginap yang setiap pagi datang bersolat subuh bersama kami, Ustaz Abdul Rahman, Imam Masjid Bugisiah yang selalu bersama kami ke sana ke mari setiap hari serta ramai lagi yang saya tak nyatakan di sini.

Di Sarawak ini bahasanya sangat unik. Keramahan dan ketinggian budi masyarakat di sini mengajak saya untuk belajar bahasa tempatan dengan cepat.

Tujuh ari kamek di Sarawak. Esok mupok lok. Kamek mok balit dah. Sik tauk bila akan datang lagik.

Tujuh hari sudah saya di Sarawak. Esok saya akan balik. Tak tau bila akan kembali lagi...

Pastinya dengan izin Allah saya akan kembali lagi.

Dr Azman Ibrahim
Catatan Dari Bumi Kenyalang
11 April 2016 - HARAKAHDAILY 11/4/2016

Share on Myspace