Muslimat PAS Kelantan tolak dakwaan parti serpihan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Kelantan menafikan kononnya ada wakil rakyat kalangan muslimat akan berhijrah kepada Parti Amanah Negara.

Ketua Penerangannya Mumtaz Md Nawi berkata, Muslimat Kelantan tetap kekal istiqamah bersama PAS selagi dasarnya tidak berubah.

Oleh itu beliau meminta parti serpihan terbabit menghentikan cubaan mengheret mereka terjebak dalam politik murahan ciptaan parti baharu itu.

“Mereka dilihat berusaha menarik ahli baharu khususnya kalangan muslimat, namun tidak berjaya.

“Kegagalan itu menyebabkan parti tersebut cuba mencetus perhatian umum di media sosial dengan membuat kenyataan yang berbentuk kontroversi,” katanya di sini.

Baru-baru ini pengerusi parti serpihan terbabit di Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dilapor mendakwa sekiranya Adun Salor Datuk Husam Musa dikenakan tindakan, 10 Adun PAS dijangka mengikut jejak langkahnya.

Dalam kenyataannya di media sosial beliau juga mendakwa empat daripada Adun terbabit dari muslimat.

Mumtaz yang juga Adun Demit berkata ketika badai politik semakin tenang, tiba-tiba pimpinan parti baharu itu mencetus kontroversi politik terhadap Muslimat Negeri.

“Kami pimpinan muslimat negeri sering dilabel pelbagai nama dan tohmahan. Kami ingin menyatakan pendirian tetap istiqamah dengan perjuangan PAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2016

Share on Myspace