Pegawai PTJ jejaki tanah kerajaan diceroboh

M ZIN | .

TANAH MERAH: Tidak lama selepas didedah Harakah, Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Tanah Merah menjejaki tanah kerajaan yang didakwa diceroboh pihak tertentu.

Tinjauan itu diketuai Timbalan Ketua Jajahan Tanah Merah Wan Mohd Shuhaimi Wan Mustapha semalam.

Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Dun Gual Ipoh Razali Yusoff berkata hasil tinjauan tersebut didapati tanah kerajaan di kawasan itu sudah dibersihkan sehingga lebih 10 ekar.

Katanya, berdasar semakan PTJ Tanah Merah tidak ada permohonan diajukan mana-mana pihak bagi membangunkan ladang di Bukit Semerah Padi tersebut.

“Saya juga menyertai tinjauan tersebut semalam. Di tapak yang sudah dibersihkan didapati ada longgokan batang-batang balak.

“Sebahagian kawasan itu sudah dibersihkan kontraktor yang dilantik syarikat terbabit,” katanya di sini.

Penyelia Dun Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa berkata pencerobohan tanah kerajaan tersebut terbongkar apabila penduduk mendakwa tanah terbabit milik mereka.

Katanya penduduk mendakwa tanah berkenaan diusahakan sejak 1990 dengan pelbagai tanaman termasuk getah dan pokok buah-buahan.

Menurutnya juga sebahagian penduduk terlibat memiliki deposit tanah di lot berkenaan.

“Bagaimanapun tiba-tiba tanah itu diceroboh pula pihak lain. Malah pihak berkenaan mempergunakan nama anak yatim bagi mengaburi mata penduduk.

“Tanah itu masih status tanah kerajaan. Lebih pelik lagi PTJ Tanah Merah memaklumkan tidak pernah meluluskan permohonan membangunkan tanah terbabit,” katanya.

Berdasarkan surat kontrak diberi penduduk, kerja tanah yang dijalankan pihak berkenaan melibatkan pembinaan teres, pembersihan jalan, kawasan ladang dan pengeluaran kayu.

Baru-baru ini Harakah mendedahkan tanah kerajaan di Bukit Kelantan diteroka pihak tertentu bagi mewujudkan ladang getah.

Kewujudan ladang tersebut menjejaskan kawasan tadahan air penduduk Kampung Peralla.

Manakala tanah di sebelah Bukit Kelantan iaitu Bukit Semerah Padi diteroka pihak lain pula. – HARAKAHDAILY 11/4/2016

Share on Myspace