Beri hak berceramah kepada Dr Zakir Naik

HARAKAHDAILY | .

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menyarankan Hindraf, MIC dan DAP menghantar wakil mereka ke ceramah-ceramah yang disampaikan oleh penceramah Islam, Dr Zakir Naik, sekiranya benar tuduhan mereka ceramah penceramah itu menghina agama lain.

Sekiranya selepas wakil mereka menghadiri ceramah-ceramah yang disampaikan, terbukti ada ungkapan menghina tuhan agama lain, PPP bersedia menyampaikan teguran kepada penceramah tersohor itu.

Sepanjang penglibatan Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah di seluruh dunia, PPP melihat apa yang cuba diutarakan oleh beliau ialah argumen-argumen berdasarkan nas, akal dan hujah saintifik tentang kebenaran Islam dan membuat perbandingan dengan ajaran agama-agama lain.

PPP melihat tiada kata-kata menghina terhadap tuhan agama lain, apalagi kata-kata menghina amalan para penganut mereka.

Gaya penyampaian Dr Zakir Naik adalah bersifat akademik dan menjadi kebiasaan ia turut dilakukan oleh penceramah-penceramah agama lain dalam meyakinkan penganut-penganut agama masing-masing.

Bagaimanapun dalam konteks Malaysia, yang membezakan ialah dakwah Islam boleh dilakukan secara terbuka, manakala penceramah-penceramah agama lain hanya menyampaikan gaya ceramah seumpamanya dalam ruang lingkup mereka.

Sekali lagi PPP menyeru semua pihak untuk menghormati Islam sebagai agama Persekutuan, sebagaimana pihak Islam menghormati hak kebebasan agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing.

PPP juga konsisten menyeru supaya keharmonian antara agama di Malaysia dipelihara, justeru penghinaan kepada tuhan yang disembah oleh penganut-penganut agama lain sememangnya dilarang oleh Islam.

Sehubungan dengan itu juga, PPP mendesak Ketua Polis Negara, menarik balik larangan ceramah Dr Zakir Naik khususnya di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), kerana ia sebahagian program akademik yang tidak wajar dikongkong.

Malah tajuk ceramah Dr Zakir Naik di universiti itu, "Similarities between Hinduism and Islam", adalah tajuk yang cukup harmoni dan diyakini tidak menimbulkan perpecahan seperti yang dibimbangkan.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
11 April 2016 / 3 Rajab 1437 - HARAKAHDAILY 11/4/2016

Share on Myspace