Atasi masalah dadah dengan undang-undang Islam

ANIS NAZRI | .

UNDANG-undang pencegahan dadah di negara ini disifatkan tidak mempunyai aspek kerohanian yang mampu mendidik rakyat agar tidak terpesong ke arah penagihan najis dadah. Sedangkan, sebarang undang-undang yang berkiblatkan Barat hanya mementingkan hukuman semata-mata tidak meninggalkan kesan kepada pesalah. Ia disuarakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Rang Undang-undang Pencegahan Dadah (Langkah Pencegahan Khas) di Dewan Rakyat, 5 Apil lalu. Sehubungan itu, Wartawan Kanan Harakah, ANIS NAZRI telah menemubual Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh bagi mengupas keperluan undang-undang Islam dilaksanakan di negara ini.

HARAKAH: Baru-baru ini, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pencegahan Dadah (Langkah Pencegahan Khas), Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar kerajaan menggubal satu undang-undang yang terkandung di dalamnya aspek pendidikan, bukan aspek hukuman semata-mata. Apa komen DUPP?

USTAZ DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH: Di dalam Islam, setiap hukuman yang disebut di dalam al-Quran, sebelum ianya dilaksanakan telah mengajar untuk mendidik. Hukuman ini merupakan penyelesaian terakhir. Atas sebab itu Islam tidak memfokuskan kepada hukuman.

Apabila kerajaan menggubal undang-undang yang mengikut acuan Barat, mengikut teori Barat pastinya undang-undang itu lebih memfokuskan kepada hukuman yang perlu dikenakan kepada pesalah. Sedangkan di dalam Islam, setiap kesalahan itu difikirkan bagaimana hendak kembali kepada Islam.

Di dalam Islam ada takzir. Bermula dengaan nasihat hingga kepada hukuman bunuh. Ini menunjukkan kepada kita perundangan Islam itu bertujuan untuk mendidik demi menyelamatkan manusia itu sendiri.

Cumanya hikmah yang digunapakai oleh Presiden merupakan hikmah yang terbaik bagi meminta kerajaan kembali kepada Islam. Biarpun tidak sebut undang-undang Islam, hakikatnya undang-undang yang mendidik terkandung di dalam hukum Islam.

Tuan Guru Abdul Hadi mencadangkan Jakim, IKIM diberi peranan untuk bersama duduk berbincang dengan kerajaan dalam menggubal undang-undang berkaitan pencegahan dadah. Lebih-lebih lagi dalam usaha mendidik masyarakat tentang kemudaratan dadah. Bagaimana DUPP melihat institusi itu pada hari ini?

Kita meletakkan rasa sangka baik kepada Jakim, IKIM dan mana-mana institusi yang berkaitan. Kita mengharapkan institusi-institusi ini dapat berperanan sebaiknya. Jakim atau IKIM ini tertakluk dengan kerajaan. Kalau kerajaan benar-benar mahu melakukan perubahan, kita boleh nampak lebih besar dan baiknya peranan agensi seperti ini.

Saya juga tegaskan jika kita PAS mengambilalih kerajaan, PAS akan meletakkan institusi seperti Jakim, IKIM, dan yang lainnya sebagai tunggak atau badan terpenting dalam negara, bukan seperti sekarang yang agak terhad.

Dalam keadaan masalah dadah yang dilihat makin parah, dengan hukuman gantung mandatori namun tidak berjaya mengurangkan masalah dadah, bagaimana DUPP melihat undang-undang Islam mampu mengatasi masalah ini?

Memang apa yang disebut di dalam Islam adalah pendekatan itu sendiri. Pihak kerajaan kena ingat bahawa undang-undang yang di dalamnya berteraskan Barat, yang di dalamnya tidak berteraskan al-Quran tidak berjaya mengatasi segala masalah yang ada. Yang dilihat berjaya mengatasi masalah ini adalah undang-undang Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi dengan dua jaminan yang diberikan Allah SWT, iaitu penguatkuasaaan dan juga pertolongan daripada Allah itu sendiri.

Sedangkan dalam undang-undang Barat yang ada, ia hanya ada kekuatan dari sudut penguatkuasaan semata-mata yang menjadikan orang takut, berhati-hati sedangkan dia mahu melakukan kesalahan.

Menjadi kewajipan kepada kerajaan untuk kembali kepada Islam. Yang mana jika kita lihat sejak merdeka, pelbagai undang-undang digubal, dipinda tetapi boleh dikatakan kesimpulannya ia gagal. 

Bagi pandangan DUPP, apakah kaedah terbaik bagi mengatasi masalah dadah di negara ini, khususnya kepada penagih dadah itu sendiri yang seringkali keluar masuk ke Pusat Serenti?

Penagihan dadah ini memang satu isu kritikal, yang tidak boleh selesai dengan mudah biarpun di negara maju sendiri, hatta di negara yang mengambil pendekatan keras sekalipun, tidak mampu mengatasi masalah ini seperti di Thailand.

Di Thailand, mana-mana penagih yang telah pulih dan dibebaskan, apabila didapati mengulangi kembali perbuatannya, mereka akan dibunuh oleh kerajaan sejurus keluar dari pusat pemulihan untuk kali kedua. Tetapi pendekatan keras dan boleh dikatakan kejam itu tetap tidak mampu mengatasi masalah tersebut.

Justeru, bagi PAS kalau kita kembali kepada Islam, Insya-Allah segala masalah yang timbul dapat diselesaikan. Bermula dengan pendidikan di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat universiti, sistem pendidikan yang bersepadu perlu dilihat kembali kepada Islam demi memberikan jaminan kepada kemaslahatan umat.

Justeru, saya mengharapkan kerajaan mengambil kira cadangan dan saranan yang dikemukakan Ahli Parlimen Marang itu yang secara hikmahnya mengatakan Islamlah penyelesaian kepada semua masalah.

Kita kena yakin bahawasanya apabila undang-undang Islam yang terkandung di dalamnya aspek pendidikan dilaksanakan, Insya-Allah, Allah akan memberikan pertolongan kepada kita dan negara sebagaimana yang Allah janjikan. "Sekiranya kamu menolong Aku, maka Aku akan menolong kamu kembali". Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara kita yang hari ini menghadapi pelbagai kemelut.

Dalam masa sama, kepada rakyat khususnya, jika melihat negara ini sudah semakin membimbangkan, merisaukan maka berilah peluang kepada PAS untuk mentadbir negara. Insya-Allah, PAS adalah pilihan yang terbaik bagi tujuan itu.

Share on Myspace