Kenapa perlu takut dengan Dr Zakir Naik?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kenapa perlu takut dengan Dr Zakir Naik, tanya Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

"Tubuhnya kerdil sahaja, wataknya lembut.

"Tiba-tiba kedatangan beliau ke Malaysia telah menjadi isu yang kontroversi sehingga sanggup menggelarkan beliau syaitan," ujarnya menerUsi laman facebook.

Justeru, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menegaskan bahawa Islam tegak dengan hujah.

"Bawalah hujah, jangan terlalu emosi sehingga hilang rasional dan nilai intelektual," katanya lagi.

Ceramah Dr Zakir Naik yang dijadualkan di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka pada 17 April ini diarah dibatalkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid menerusi laman twitternya menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membenarkan forum tersebut diteruskan demi ketenteraman awam dan sensiviti agama di Malaysia.

Begitupun, Pengarah Program Jelajah Ceramah Dr Zakir Naik, Abu Shariz Sharajun Hoda berkata tiada arahan bertulis untuk membatalkan atau menangguhkan ceramah pendakwah Islam terkemuka itu sama ada di Kuala Lumpur atau Melaka.

Mengulas kenyataan sesetengah pihak di media sosial yang mendakwa ceramah Dr Zakir Naik akan dibatalkan terus, beliau berkata, program itu akan diteruskan sebagaimana dirancang, termasuk di Melaka.

“Kami tidak akan melayan sebarang spekulasi berkaitan isu ini selagi tiada arahan bertulis oleh pihak berwajib,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, walaupun ceramah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dibatalkan, namun ceramah itu akan tetap diteruskan di negeri berkenaan seperti yang telah dijadualkan dan tempatnya akan dimaklumkan kemudian.

Malah, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang telah mengadakan perbincangan dan memberikan kelulusan untuk meneruskan program itu.

“Alhamdulillah, pihak berwajib juga sudah meluluskan permohonan kami untuk meneruskan program ini termasuk daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan," katanya.

Syarahan Umum Dr Zakir Naik mendapat kerjasama Hidayah Centre Foundation dan 10 pertubuhan bukan kerajaan lain seperti Islamic Research Foundation (IRF), Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s (ACCIN), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Skuad Mubaligh Malaysia. - HARAKAHDAILY 12/4/2016

Share on Myspace