Orang kampung hendak tahu siapa Dr Zakir Naik

HARAKAHDAILY | .

Setiap perkara ada hikmahnya. Halangan Dr Zakir Naik untuk berceramah di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka mempunyai hikmah yang tersurat dan tersirat.

Jika di zaman Nabi SAW yang tidak ada media sosial dan langit terbuka pun Islam berkembang dengan pesat. Inikan pula di zaman canggih, maklumat di hujung jari sahaja.

Mereka boleh halang untuk beliau menyampaikan ceramah dan dialog, tetapi mereka tidak boleh menghalang kebenaran sampai ke lubuk hati manusia. Islam tegak dengan kekuatan hujah.

Sebelum ini, Dr Zakir hanya terkenal dalam kalangan golongan intelektual dan pengamal media sosial.

Sekarang sudah menjadi bualan dalam kalangan orang-orang kampung. Mula bertanya siapa Dr Zakir Naik. Kenapa beliau dihalang untuk berceramah?

Merekapun hendak tahu apa kandungan ceramah beliau. Adakah beliau membawa ajaran sesat?

Begitu juga bagi mereka yang tidak berapa kisah selama ini mengenai ceramah Dr Zakir telah mula mendengar melalui youtube. Alhamdulillah iklan percuma untuk Dr Zakir.

Saya yakin ramai dalam kalangan orang bukan Islam yang bijak pandai pun akan mencari dan hendak mendengar ucapan Dr Zakir. Benda yang baik, walaupun orang cuba sembunyi ia tetap akan dicari.

Isu Dr Zakir juga terserlah citra warna manusia sebenarnya sehingga sanggup melabelkan beliau sebagai syaitan.

Sepatutnya hujah melawan hujah, bukan sebaliknya. Beliau minta supaya Malaysia meniru Kanada dan United Kingdom kerana tidak membenarkan beliau berceramah. Mungkin beliau lupa di mana bumi dipijak dan lupa asas kenegaraan Malaysia.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
4 Rejab 1437 / 12 April 2016 - HARAKAHDAILY 12/4/2016

Share on Myspace