Pelbagai program bantu rakyat Selangor miliki rumah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rakyat Selangor khususnya anak muda tidak perlu bimbang mengenai pelaksanaan program perumahan yang sedang direncanakan kerajaan negeri kerana mengikut tempoh ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata kerajaan negeri memahami kebimbangan generasi muda mengenai isu itu, lapor Selangor Kini.

Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai pelbagai program bertujuan untuk membantu rakyat memiliki rumah bahkan sudah meluluskannya.

“Skim pertama adalah skim sewa beli Dana Selangor (Dana Sel) bagi membantu rakyat yang hendak membeli rumah tetapi gagal mendapatkan pinjaman perumahan.

“Skim kedua adalah skim Smart Selangor First Home yang mana kerajaan negeri membantu membayar deposit 10 peratus untuk pembeli rumah mendapatkan pinjaman bank sementara skim ketiga adalah Skim Selangor Smart Sewa,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Iskandar menerima memorandum daripada Kumpulan Anak Muda Prihatin menerusi Pengerusi, Huzaifah Mokhtar menggesa kerajaan negeri mempercepatkan pelaksanaan program rakyat memiliki rumah di pejabatnya.

Setakat ini, dari 7,820 yang ditawarkan Rumah Selangorku, 3,490 daripadanya menolak dengan sebab utama tidak mendapat pinjaman pembiayaan.

Jelasnya, walaupun hanya terdapat satu peruntukan 'one-off' berjumlah RM10 juta untuk Skim Dana Sel dan RM1.6 juta untuk 2016 dan 2015 bagi Skim Selangor Smart Sewa.

Tambahnya, tetapi kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) memastikan peruntukan itu dibelanjakan segera supaya mereka yang layak tidak tertunggu-tunggu.

“Untuk Skim Smart Selangor First Home, LPHS mengenalpasti peruntukan bagi skim ini dalam kadar segera untuk pelaksanaan mulai bulan Jun ini.

“Dengan usaha kerajaan negeri ini saya berharap anak muda dapat menarik nafas lega kerana terdapat pelbagai program perumahan kerajaan negeri dan diusahakan agar peruntukan digandakan setiap tahun sesuai dengan masalah dihadapi rakyat,” katanya.

Share on Myspace