Hentikan pemusnahan tanah gambut

HARAKAHDAILY | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Sarawak menghentikan pembangunan di kawasan tanah gambut di negeri itu. Antara pembangunan yang sedang berjalan kini ialah konsesi BLD Plantation Berhad di Utara Sibu. Analisis imej satelit yang dilakukan oleh Friends of Orangutans (FOTO) menunjukkan antara Jun dan September 2015, BLD telah membersihkan secara purata 11 hektar sehari.

Pembangunan dan penanaman berskala besar di atas tanah gambut terus memusnahkan sumber hutan paya gambut tropika dan fungsi semula jadinya. Sarawak mempunyai kira-kira 1.6 juta hektar tanah gambut. Menjelang awal 2000-an, negeri ini sudah pun kehilangan kira-kira 100,000 hektar tanah gambut kepada ladang kelapa sawit.

Menurut Deltares, sebuah institut penyelidikan, kurang daripada 16 peratus daripada hutan paya gambut semula jadi Sarawak yang masih kekal. Dari tahun 2000 hingga 2014, liputan ladang kelapa sawit meningkat dari 6 peratus kepada 47 peratus, manakala kawasan hutan paya gambut merosot daripada 56 peratus kepada kurang daripada 16 peratus. Kawasan yang masih ada kebanyakannya telah disalirkan keluar airnya.

Di samping kaya dengan kepelbagaian-bio, tanah gambut tropika memainkan peranan penting di peringkat serantau dan tempatan dalam kitaran air, kestabilan iklim dan lanskap. Tanah gambut tropika mempunyai aras air bumi yang biasanya mengekalkan bahan organik daripada reput sepenuhnya dan hasilnya tanah ini menyimpan sejumlah besar karbon. Tanah gambut juga bertindak sebagai span gergasi, menyerap air dan membantu untuk mitigasi banjir. Ketika musim kering, tanah gambut ini melepaskan air secara perlahan, maka menjadi sumber bekalan air bersih.

Kebakaran hutan di tanah gambut juga semakin meningkat, dengan kesan bencana bagi kepelbagaian-bio dan iklim dunia di mana bahan organik yang terbakar melepaskan sejumlah besar karbon yang disimpan ke atmosfera.

Walaupun fungsinya penting, penebangan hutan tanah gambut untuk ditukarkan kepada pertanian dan ladang kayu masih berterusan dan ini melibatkan saliran intensif. Bila mengalami kemerosotan, tumbuh-tumbuhan dan gambut yang merupakan takungan karbon yang amat besar dan berkepekatan tinggi akan melepaskan gas rumah hijau. Dengan demikian, tanah gambut yang dulu menjadi simpanan karbon kini bila dimusnahkan merupakan sumber karbon terlepas ke atmosfera.

Tanda-tanda pemanasan planet kini di sekeliling kita. Oleh itu kita perlu mengurangkan dengan drastik semua pengeluaran karbon dioksida dan gas rumah hijau lain yang disebabkan oleh manusia. Kerajaan mestilah komited kepada penebangan sifar dan mengekalkan semua hutan asli kita. Oleh itu kami menggesa kerajaan Sarawak dan Malaysia hentikan meluluskan penukaran guna tanah gambut.     
Kekalkan karbon di dalam tanah.

SM Mohamed Idris
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)     
12 April 2016 - HARAKAHDAILY 12/4/2016

Share on Myspace